
BERSAWAH PADI
Semasa di Darjah 4 juga aku mula mengenali sawah padi dan alam sekitarnya. Ibu menyewa sepetak sawah dari Tok Wan Teh untuk diusahakan. Ibu, aku dan adik-adik mula belajar turun kesawah untuk menjadi petani dan anak petani. Istilah-istilah yang membawa maknanya tersendiri dalam dunia petani ialah melunggok, menyerak, bekas semai, menyelam, menabur, mengubah, cabut semai, serak semai, menanam, berderau, kuku kambing, baling semai, tarik semai, menyulam,merumput, sisir, tahan taut, buka air, tutup air, buang air, menggagau, pasang tuak,halau itik, tahan bubu, belat, pasang tempang, masuk isi, pepatung, goncang tin, batas ban, parit buang, taliair, pintu air, lepas air, mengerat, ambil upah, mengetam, memukul, mengibas, tanggung padi, tong padi, layar tong, pisau mengerat, mesin padi, beras baru, emping, anak lutut, tunggul padi, tanggung tong, miang padi, padi tahun, ambil upah, jahit guni, ubah tong, relong, tiga penjuru, tolak bala, menetak ikan, suloh ikan, telaga ikan, menimba ikan, sebatang rokok, masuk air, anak-anak, umpan anak-anak, anak kerengga, tumbuk haruan, parit belakang, kepala tanah dan padi kunca.
Sawah padi adalah alam yang amat indah bagiku. Alam yang indah bagi gadis itu. Kami sering mengongsi cerita-cerita keindahan sawah padi semasa kami sering bercanda dahulu. Keindahan sawah padi dan alam yang terbina darinya sentiasa segar dalam ingatan.
Pagi
Mukabumi kawasan sawah datar dan terbentang luas, berpetakpetak, dipisahkan oleh batas-batas tanah yang dijadikan tempat laluan berjalan kaki dan mengawal ketinggian air. Keadaan mukabumi yang datar dan terbentang luas, membolehkan angin menderu melintasi sawah dan menerpa kekawasan kampong. Subuh sejuk. Angin sejuk mudah masuk kedalam rumah Tok Wan Teh.Rumah Tok Wan Teh beratapkan sisipan atap nipah. Dinding adalah anyaman kulit batang bertam. Tiang adalah kayu bulat hutan yang ditarah dan diketam. Lantai papan. Bawah rumah tinggi dan bertiang banyak. Ketika angin menerkam masuk melalui celah-celah anyaman bertam, bersiulan bunyi angin menggesek tepian bertam. Bunyi siulan bertambah mersek dan halus jika kelajuan angin bertambah. Sisipan atap nipah terselak-selak melahirkan bunyi dedaun bertindih-tindih. Dedaun pokok nipah bertepok-tepok bunyinya ketika bersentuh sesama sendiri bila dilanda angin deras. Buah mempelam masak berdegup-degup mengetuk bumi, berguguran tanggal tangkai diayun angin subuh. Daun pokok mempelam berdesir-desir membentuk simponi bersambungan melayan angin yang lebih deras didahan tinggi. Dibawah sinaran samar bulan subuh, dahan dan ranting menari-nari mengugurkan dedaun kering dan buah yang masak. Pada musimnya, bumi menyambut buah-buah masak jambu bol, jambu susu, mempelam, cermai, buah nam-nam, kelapa tua, rambai, jambu batu, keriang, reminjau dan setui.
Angin subuh melunak ayunan tarian dedaun anak padi, melentuk seirama mengikut kenakalan larinya angin. Anak-anak padi menghijau berbaris tegak ketika tidak diganggu angin subuh. Embun bermutiara dihujung dedaun anak padi, menambah kepada kedinginan. Mutiara-mutiara embun setia mencerna kelip cahaya, limpahan dari sinar bulan. Air sawah tenang kerana ikan juga sedang berehat ditepian rumpai dan bernaung dibawah lumut. Batas ban kelihatan gelap lurus menguasai petak-petak sawah.
Kokok ayam jantan tetap setia menyambut subuh. Bersahut-sahutan. Masing-masing dengan lagu dan marhalahnya sendiri. Azan suboh terdengar berjauhan mengikut arah angin. Pelita-pelita dalam rumah dinyalakan semula oleh ibu-ibu yang bangun menyediakan sarapan. Dapur kayu mula bernyala dengan api meratah perlahan-lahan kayu-kayu kering dan sabut kelapa. Asap kelabu mencari tingkap berlegar-legar menyapa angin subuh. Cerek hitam legam mula digigit api merah menanak air. Air paip diambil dari pili paip sekim bekalan air luar Bandar yang terletak ditepi jalan raya. Dikawasan pendalaman, keluarga petani menggunakan air telaga sahaja untuk minum.
Burung-burung mula bertasbih. Siulan berbagai dan memeriahkan alam. Siulan burung malam, mula tidak kedengaran. Mereka masuk kesarang untuk tidur disiang hari.
Pagi mulai cerah. Burung bangau putih, berkumpulan terbang didada langit, muncul dari Kuala Gula, ditepi laut menuju sawah-sawah yang biasa dikunjungi untuk memagut anak-anak ikan. Bagai pasukan penyerang , masing-masing bergegas kewilayah yang menjanjikan anak-anak ikan segar didalam parit dan sawah. Burung bangau akan mendarat diatas batas ban. Pendaratan dilakukan mengikut giliran. Ketika mendarat, kedua-dua kaki kurus berwarna kuning dilunjurkan kehadapan dengan kedua-dua kepak didepangkan seluas-luasnya untuk menjadi penahan angin memperlahankan kelajuan terbang dan muncung diimbangkan dengan mata burung menentukan tempat mendarat. Kelajuan terbang akan menolak badan burung sedikit kehadapan ketika mendarat. Ketika kaki mencecah tanah, kepak segera dikincupkan dan burung bangau berlari beberapa langkah kehadapan akibat lonjakan kederasan pendaratan itu. Apabila badannya dapat diimbangi, burung bangau akan berhenti dan terus berjalan disekitar daerah kecilnya menjenguk-jenguk anak ikan didalam air.
Kadang-kadang aku perhatikan, berlaku juga perlanggaran sesama sendiri semasa pendaratan burung-burung bagau dibatas-batas sawah, jika kawasan pendaratan itu mempunyai kawasan yang terhad. Ketika perlanggaran ini, burung bagau yang telah selamat mendarat akan berbunyi berkuak-kuak sambil mengacah mematuk burung bangau yang menyentuhnya ketika perlanggaran itu. Burung bangau yang menyebabkan kemalangan itu berlaku, akan berlari-lari menyelamatkan diri. Ketika kekecohan kecil ini berlaku, burung-burung bangau yang lain turut berkuak-kuak memeriahkan suasana. Keadaan akan kembali sunyi kemudiannya apabila masing-masing kusyuk menunggu anak ikan timbul dipermukaan air.
Petani mula kelihatan berjalan diatas permatang menuju sawah masing-masing untuk mengerjakan tugasan yang masing-masing tetapkan. Anak padi telah tinggi, hijau, berbaris, tegak, kemas, cantik dan subur. Petani berterendak, berselitkan parang panjang dipinggang, menjinjing beg bekalan minuman dan makanan yang disediakan oleh isteri masing-masing. Singgah dibawah pokok mempelam dibatas ban, meletak beg bekalan dan menggulung rokok daun. Sambil menggulung rokok daun, petani meninjau-ninjau ketengah sawah, “berkira-kira” mengenai tugasan pagi itu. Rokok daun dilekatkan dibibir dan dinyalakan dengan pemetik api. Rokok daun disedut dalam-dalam. Api merah membakar hujung rokok dan tembakau jawa yang diwarnai dengan pewarna merah. Asap dihembus perlahan-lahan tanda kepuasan dan angin pagi mengheret asap keruang yang tiada sempadan. Setelah beberapa sedut yang menghairahkan, petani melangkah kedalam sawah menguruskan tugasan harian.
Pagi makin cerah. Ibu menungkapnya sebagai “dah pecah panas”. Ikan-ikan mula bergerak,lemah dan lembut kelubok masing-masing. Anak-anak ikan mula bermain-main kepermukaan air. Air terusik dan berkocak-kocak kecil. Makin panas permukaan air, anak ikan semakin galak bermain. Permukaan air memercik. Dedaun kecil terganggu dan rumpaiair bergoyang. Burung bangau menjengok-jengok menunggu peluang memagut.
Anak-anak petani mula berlari-lari dipermatang. Masing-masing berkejaran kelokasi taut-taut dipasang petang sebelumnya. Kebiasaannya semua taut mengena. Riuh rendah jerit gembira sambil mengangkat tinggi batang taut, menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan yang kejauhan, hasil tangkapan mereka. Taut dikumpulkan dan dibawa pulang kerumah untuk dimasak ikannya oleh keluarga masing-masing.
Petani berhenti rehat diatas batas ban sambil menguyah bekalan dan minum air kopi. Badan sudah separuh basah dan tangan berselut. Kerja menyulam hampir siap. Kejauhan mata memandang kelihatan seolah-olah terbentang permaidani hijau.
Ketika matahari tegak didada langit, petani bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing. Berahati-hati melangkah dibatas ban. Menjengok sana-sini memeriksa anak padi yang timbul kerana kurang kemas ditanam. Mencantas-cantas rumput yang tinggi. Petani turun mandi diparit belakang kampung, membasuh seluar dan baju yang kotor. Memakai kain pelekat, menyidai baju dan seluar diampaian dan naik kerumah untuk makan tengah hari dan berehat sebelum turun semula ke sawah petang nanti.
Menggunakan istilah ibu, ketika “tengah hari rembang”, sawah tidak berpenghuni. Petani berehat dirumah, suri rumah sibuk menyediakan makan tengah hari dan anak-anak kesekolah. Cahaya matahari kelihatan berkilauan diatas permukaan air. Bersilau-silau mengikut alunan ombak air yang ditiup angin. Ikan bebas bermain dilautan air sawah, memintas anak-anak padi dan berselindung dibawah lumut ekor kucing. Sesekali terdengar bunyi dentuman ikan haruan menangkap katak. Angin biasanya mati waktu tengah hari. Alam kaku dan panas. Bayang-bayang batang bemban dan menerung kelihatan lurus didalam air. Daun kelipok dan bunga teratai cantik menghias parit-parit buang. Alam damai dan tenang.
Sinar matahari tengah hari menukar kesibokan pagi menjadikan alam cerah dan damai. Ketika ini ikan galak bergerak dari satu lubok ke lubok yang lain. Anak-anak ikan berlari kepermukaan air. Kocakan air membentuk bulatan demi bulatan dan hilang ditebing batas. Didalam air terlukis gambar bayang-bayang hitam rumpai, bunga teratai, batang bemban,batang menerong, ranting-ranting, anak padi, batas-batas, jurai daun kelapa dan pepohon. Kelihatan sebagai sebuah lukisan alam yang amat indah dengan warna hijau menjadi warna dominan.
Petang
Kebiasaannya petani turun semula kesawah dengan ditemani oleh isteri masing-masing, menolong-menolong kerja yang ringan sambil memberi sokongan moral kepada suami mereka. Isteri mengenakan lilit kepala, berbaju kedah dan berkain batik lusoh menjinjing bakul makanan. Isteri bekerja berdekatan dengan suami, menumpang berani dari gangguan ular tedung senduk atau lipan air.
Petang cepat meredup. Isteri dibenarkan untuk pulang awal untuk menguruskan ayam itik, menyambut anak-anak balik sekolah dan menyediakan makan malam.
Petang malabuhkan tirai peringkat demi peringkat. Ketika cahaya merah kekuningan berada diufuk langit, petani sudah berada didalam kampung, membersihkan keliling rumah, mengumpul sampah daun dan membakarnya. Asap naik tegak kelangit kerana angin mati. Petani mengumpul sabut kelapa dibawah rumah dan membakarkannya. Asap naik keatas dan masuk kedalam rumah melalui lubang lantai papan. Asap bakaran sabut kelapa bertujuan menghalau nyamuk. Itik berkuek bising dikandang menunggu malam. Ayam telah dihalau masuk reban dan mencari-cari tempat yang sesuai untuk bertenggek malam nanti. Baju dan seluar basahan kesawah telah dibasuh dan dijemur diampaian. Esok pakai baju basahan lain. Bila senja meminta diri, ibu-ibu sibuk melaungkan nama anak-anak menyuruh segera pulang untuk dimandikan dan bersiap pergi mengaji Quran. Malam datang dengan disambut oleh nyalaan beberapa sumbu pelita didalam rumah. Mana-mana petani yang mampu,menghidupkan lampu gaselin.
Malam.
Sawah belakang rumah sunyi dan gelap. Anak-anak padi nampak berbalam-balam. Tuaq, bubu dan tempang telah dipasang dilaluan air yang strategi. Ikan menyusur masuk kedalam Tuaq, bubu dan tempang. Ikan terperangkap. Unggas malam keluar mencari rezeki. Burung Hantu menenggek diatas pokok Jambul Bol menunggu tikus keluar bermain-main ditempat lapang. Sesekali kedengaran bunyi Burung Hantu yang menakutkan itu. Taut yang mengena kelihatan melentik-melentik ditarik ikan yang cuba melepaskan diri.
Dikejauhan terdengar suara anak-anak mengaji Quran.
Malam menyaksikan banyak aksi romantik dirumah petani-petani. Teori yang sering dijaja ialah oleh kerana pada masa itu tidak ada TV dan radio dirumah, petani-petani sentiasa “menggunakan tanah yang subor untuk menanam diwaktu malam”. Tanah “sawah” memang subor dan dalam masa yang singkat keluarga petani bertambah besar.