Friday, August 14, 2009

IBU SAKIT PENDAPATAN BERKURANGAN

Suatu Ketika, ibu tiba-tiba jatuh sakit dan terpaksa memberhentikan kerja-kerja membuat kueh. Dalam tempoh ini pihak pengusaha kantin dan kedai kopi telah membenarkan orang lain membuat kueh-kueh yang dahulunya dibuat oleh ibu. Oleh itu setelah ibu sihat semula, Ibu tidak boleh membuat kueh yang telah diambilalih oleh pembekal yang baru.

Semasa ibu sakit, aku sentiasa bersama dengannya. Ibu mengeluarkan wang simpanannya dari bawah katil. Semuanya duit syiling yang disimpan didalam bekas aluminium. Duit ini digunakan untuk mengubati penyakitnya, sama ada di klinik atau sedekah kepada bomoh. Aku menemani ibu kehospital dan kilinik di pekan. Kami menaikki bas dan kadang-kadang berjalan kaki kerumah-rumah dukun. Semuanya gagal mengubati sakit ibu. Duit simpanan berkurangan, ibu masih sakit. Pendapatan sudah tiada kerana ibu tidak membuat kueh untuk jualan. Dengan izin Tuhan, ada orang mengesyurkan ibu berubat dengan seorang sami China yang tinggal tidak jauh dari rumah Tok Wan Teh. Pada hari yang ditetapkan, aku adik perempuan dan lelaki menemani ibu ke rumah sami tersebut. Kami disuruh menunggu diluar rumah kerana pada ketika itu, sami itu sedang mengubat seorang yang lain. Aku melihat-lihat kedalam rumah sami itu. Kelihatan dia berpakaian hitam, sedang memegang colok dan menyembah-nyembah lembaga patong Tok Pekongnya. Apabila sampai giliran ibu, kami dipanggil masuk, disuruh duduk diatas kerusi panjang. Pembantu sami menyoal beberapa soalan kepada ibu. Aku melihat sami menulis sesuatu diatas kertas kuning berlilit warna merah. Kertas itu dibakar didalam pinggan dan habuknya dikumpulkan dan diserahkan kepada ibu. Ibu diminta merebuskan habuk kertas itu dan meminum airnya. Ibu memberi sedikit wang dan kami pulang. Ibu meminum air rebusan itu beberapa hari dan dengan izin Tuhan penyakitnya sembuh dan ibu pulih seperti sediakala.

Ibu ingin kembali membuat kueh. Tetapi semua kueh yang pernah ibu jual telah diambil alih oleh orang lain. Mengikut amalan, ibu tidak boleh membuat kueh yang sama dan menjualnya ditempat lama dulu. Tekanan hidup dan kemiskinan mula meratah hidup kami. Gaji ayah tidak mencukupi. Ibu memutuskan untuk membuat rojak buah yang dibungkus dengan daun pisang. Bungkusannya berbentuk bungkusan tapai. Rojak buah ini dijual dikantin pada sesi sekolah sebelah petang. Aku yang bersekolah sesi petang ketika itu ditugaskan membawa bungkusan rojak itu kekantin sekolah. Bungkusan rojak itu dimasukkan kedalam beg sekolah aku , yang dibuat dari rotan. Buku-buku sekolah aku diikat dengan tali dan aku membimbitnya. Apabila semua bungkusan rojak itu dikeluarkan oleh pengusaha kantin, aku boleh menggunakan semula beg sekolah itu. Hari pertama semua rojak habis dijual. Semasa aku memasukki kelas selepas rehat, aku berselisih dengan Che Ani, rakan sekelas dan aku mendengar kata-katanya.

“eeee….rojak tu sedaaap”

Dalam hati aku berasa bangga dan Che Ani serta rakan yang lain tidak menyedari ibuku yang membuat rojak itu.

Rojak itu dijual pada hari kedua. Ibu tidak lagi membungkusnya dalam bentuk bungkusan tapai tetapi membungkusnya berbentuk bungkusan nasi lemak. Aku menghantarnya kekantin sekolah, mengambil beg aku semula dan masuk belajar. Masa rehat seperti biasa aku menjauhi kantin sekolah dan sebelum pulang kerumah aku singgah dikantin sekolah untuk mengambil duit jualan rojak. Aku terpaksa mengikat semula semua buku sekolah aku, kerana pada hari kedua itu, satu pun rojak itu tak laku dijual. Ketika aku sampai kerumah, ibu sudah menunggu dipintu tengah rumah Tok Wan Teh. Ibu menyambut kepulanganku dengan senyum, dia faham nasibnya dan anaknya petang itu. Aku menyerahkan beg itu pada ibu tanpa wang jualan. Ibu menyambutnya. Aku letakkan buku yang diikat dimuka pintu. Ibu hilang didapur. Mungkin menangisi nasibnya. Aku menukar pakaian sekolah. Terus berlari kesawah dibelakang rumah, memeriksa taut yang aku tahan pagi tadi sebelum aku kesekolah.

Selang beberapa lama kemudian, ibu mendapat semula haknya untuk membuat kueh karipap, onde-onde, apum, kueh sagu berbalut kelapa parut, kueh lapis dan cucur badak. Ibu menjadi sibuk semula dan kehidupan kami menjadi lebih ceria. Pelajaran aku meningkat dan aku terus menjalankan tugas rutin menghantar kueh dengan berjalan kaki dan kepasar membeli bahan-bahan untuk membuat kueh. Dunia aku ketika itu adalah dunia tanggung jawab dan belajar. Masa bermain dengan kawan-kawan sekampung menjadi kurang.


No comments:

Post a Comment