Sunday, August 16, 2009

DITEMPELENG GURU DARJAH

Ramai anak-anak petani Parit Satu yang berekolah disekolah rendah di Pekan. Ramai juga yang tidak bersekolah kerana tekanan kemiskinan. Aku bernasib baik dapat bersekolah sehingga Darjah Enam di Sekolah Rendah di pekan. Apabila aku naik darjah ke Darjah 5, kehadiran aku mula disedari oleh pihak sekolah kerana pencapaian cemerlang aku di Darjah 4. Aku dilantik sebagai Ketua Darjah 5A dan Penolong Ketua Murid sekolah. Ketua murid tahun tersebut ialah rakan sekampung bernama Zulkifli. Guru Darjah 5A ialah Cikgu Kamaruddin. Di darjah 5 juga aku terus cemerlang.

Aku bertemu Rosbiyah hanya seminggu sekali sahaja, iatu pada pagi Isnin ketika perhimpunan mingguan. Murid-murid dari sekolah cawangan yang terletak diseberang sekolah akan datang menyertai perhimpunan dan kemudian berbaris melintasi padang sekolah kembali kekelas mereka di bangunan cawangan.

Disuatu hari aku diminta oleh Cikgu Kamarudin untuk menghantar satu surat pekeliling kepada Guru Darjah 5B. Aku begitu teruja kerana berpeluang ke kelas Rosbiyah dan berharap dapat bertemu mata dengannya. Cikgu Kamarudin mengarahkan dua murid lelaki mengiringi aku ke sekolah cawangan. Kami melintasi padang dan sampai ke kelas 5B. Aku menyerahkan surat pekeliling berkenaan kepada guru darjah 5B sambil mata liar mencari Rosbiyah. Dalam keadaan yang segera itu, aku gagal melihat Rosbiyah dimana-mana.

Disuatu hari yang lain, Cikgu Kamarudin meninggalkan kelas kerana terpaksa menghadiri mesyuarat tergempar dan mengarahkan aku menjaga kelas supaya tidak bising. Aku gagal menjalankan tugas. Ketika Cikgu Kamarudin masuk semula kedalam kelas, murid-murid bising dan Cikgu Kamarudin marah kerana kelas bising. Kelas 5A pula terletak disebelah Pejabat Sekolah. Cikgu Kamarudin bertanya kenapa aku tak mengawal keadaan. Aku tak ada jawapan. Dia menghampiri meja aku dan meminta berdiri.

“Ketua darjah apa ni?.....”

“Kelas bising…”

Tiba-tiba tangannya menampar muka aku. Terasa sakit dan aku diam tak menjawap. Kelas diam dan aku duduk setelah Cikgu Kamarudin berlalu kemejanya. Dia terus mengajar sehingga samapai waktu rehat. Waktu rehat seperti biasa aku bersendirian dibawah pokok. Semasa melintasi laluan ketempat aku sering berehat, seorang rakan perempuan sekelas menyindir aku.

“Padan muka, kena tempeleng…” Kalsom Anas menjeling sambil berlalu pergi

Aku terperanjat dengan komen itu. Sepatutnya dia bersimpati dengan aku kerana bukannya aku yang membuat bising atau terlibat didalam kesalahan itu. Aku duduk dimeja aku membuat kerja-kerja sekolah. Yang membuat bising ialah kumpulannya yang duduk dibarisan belakang kelas. Dia tidak rasa bersalah pun. Kesalahan itu diletakkan kepada aku. Aku terima hukuman itu kerana gagal menjalankan tugas, tetapi bukan untuk dikutuk lagi. Cumanya aku menenangkan diri dan menyimpulkan:

“rupa-rupanya ada juga orang yang tak suka kepada aku….”

No comments:

Post a Comment