
TARZAN KAMPONG HANYUT DALAM SUNGAI SENDUK
“Aku nak terjun berenang kesebelah sana……” Wahab memecah sunyi menyatakan hasrat hati dalam loghat petani.
“Air dalam…Hab” Lateh cuba menghalang.
“Deras!” Mizi bersuara mengulum sambil mengemas ikatan kain pelikat lusohnya.
“Sungai bukan luass….. “ Wahab membantah “ Aku boleh lepas….” Wahab sudah berkira-kira hendak menanggalkan kain pelikat.Kain pelikat sudah menyinding sebelah. Wahab pakai seluar katuk.
“Wahab…sat ni hang hanyuttt…” aku menyonsong dengan loghat kedah.
“hangpa takutttt” loghat petaninya bercampur loghat kedah. Wahab melunggokkan kain pelikatnya ditepi tebing dan merenung selekoh sungai yang terlindung dihujung tanah Tok Bomoh Mat Sarin. Kata orang, selekoh pokok tebrau itu tempat Tok Bomoh Mat Sarin membuang hantu jembalang.
Wahab terjun. Berenang gaya kampong menuju seberang sungai, badan kecilnya diheret arus kehilir, Wahab terus mendepang tangan kedepan dengan kedua kakinya memukul air berusaha keras melonjak badannya dengan segera ketebing menghala ke baroh. Tenaga Wahab kuat. Wahab sampai dicelah-celah daun keladi dan mencengkam rumput tebing melonjakkan badannya memanjat tebing sungai sebelah baroh. Wahab segera mengaleh pandangannya kepada lapan lagi rakannya yang masih menyerangguh ditebing sebelah kampong.
“Oooi…terjunlaaa…” Wahab menjerit sambail melambai-lambai. Wahab kelihatan menggigil dan duduk diatas batang rumbia yang tumbang.
Led, sepupu Wahab, terjun dan lepas.
“Oi budak pekan….terjunlahhh” Led mula mencabar aku. Aku digelar “Bukan Pekan” kerana aku pulang kekampung dari Ipoh, sebuah bandar atau pekan.
Umur aku pada ketika itu baru 8 tahun. Bukan seorang budak kampong yang cergas dan cegar. Aku tidak pandai berenang. Tetapi ego aku tercabar. Aku perhatikan air sungai tetap deras. Aku tidak berfikir panjang. Kawan-kawan yang lain hanya memandang aku menanggalkan kain pelikat dan bersiap untuk terjun dan berenang. Apa yang ada dalam fikiran mereka ketika itu aku kurang jelas. Mereka mungkin ingin melihat kehebatan seorang budak pekan.
Aku terjun sejauh mungkin untuk memendekkan jarak untuk aku berenang. Selepas tenggelam beberapa ketika, aku timbul dan mula mendepang tangan berenang kearah tebing. Kedua kaki, aku pukul keair menolak badan aku kehadapan. Tetapi teknik itu salah kesemuanya. Aku hanya menepok air menggunakan tangan dan kaki. Air deras menolak aku kehilir dengan laju, melintasi titi batang kelapa dan diheret ketebing sungai kesebelah baroh. Aku menjerit minta tolong. Dari hujung anak mata semasa aku tenggelam timbul, aku lihat kawan-kawan ditebing sungai berdiri dan kaku.
Aku terus hanyut. Air deras menolak aku kearah tebing. Aku cuba sekuat tenaga memachu diriku ketebing dan mencapai daun-daun keladi. Aku berjaya mencapai sehelai daun keladi sederhana besar, tiba-tiba aku terfikir, jika aku rentap daun keladi ini, daun akan putus dan aku terus hanyut. Dengan meringankan badan, aku tarik daun keladi secara teguh dan membawa diri aku ke tebing. Aku merangkak memanjat tebing dan duduk dicelah-celah pokok terberau. Daunnya miang dan melukakan. Setelah meraih kembali tenaga yang masih tinggal, aku berjalan kearah hujung titi pokok kelapa. Kawan-kawan masih tidak berbuat apa-apa. Mungkin mereka bersyukur kerana aku selamat. Aku mula meniti titi batang kelapa.
“Tengook….tarzan selamattt…” aku memekik sewaktu meniti batang kelapa. Aku tidak kenal siapa tarzan. Sewaktu di Ipoh dulu, aku pernah melihat gambar cerita tarzan didalam komik yang ayah bawa pulang. Kawan-kawan di Kampung Senduk juga tidak pernah kenal siapa tarzan dan apa kaitan tarzan dengan kejadian aku hanyut tadi. Badan aku masih basah ketika meniti titi batang kelapa. Ketika aku menunjuk-nunjuk akulah tarzan, kaki aku tergelincir dan aku jatuh semula kedalam sungai. Tangan aku terpegang batang buluh yang terbuai-buai dipukul arus. Aku berpaut pada batang buluh dan menjerit meminta tolong. Tarzan Kampung Senduk menjerit minta tolong!. Nasib baik kawan-kawan Kampung Senduk belum mengenali siapa tarzan sebenar. Sambil berpegang pada buluh pengadang titi yang patah itu, aku cuba mencapai tebing dibawah kepada titi. Gagal. Aku menyedari ada usaha-usaha dari kawan-kawan menolong aku supaya tidak hanyut kali kedua. Kawan-kawan menyeberangi sungai melalui titi batang kelapa dan membuat rangkaian sambungan tangan beramai-ramai dan kawan yang terakhir memegang tangan aku dan ramai-ramai mereka menarik rangkaian itu ke tebing sungai. Sekali lagi aku diselamat dari hanyut.
Ketika meniti batang kelapa menyeberangi sungai, aku sudah tidak berani lagi berlagak sebagai tarzan. Kami meniti seorang demi seorang berhati-hati.Kawan-kawan mengambil keputusan pulang kerumah masing-masing. Ketika jalan berbaris menuju haluan masing-masing, tidak ada sepatah kata kedengaran.
Kisah aku dihanyutkan oleh air sungai yang deras ini, aku ceritakan semula kepada dia ketika kami mula bercinta dan sedang melalui zaman indah. Dia menjumpai sebuah sajak yang disiarkan dalam ruangan sajak akhbar tempatan. Sajak itu cukup bermakna buat kami ketika itu.
”Semasa kecil
Aku dihanyutkan air sungai
Aku lepas diri
Ketika dewasa
Aku dihanyutkan arus cinta
Aku tenggelam
Tidak dapat melepas diri”
No comments:
Post a Comment