
USTAZ PENIPU
Semasa di Darjah 6 aku mengaji Quran dengan Haji Cha. Haji Cha juga merupakan guru agama di sekolah rendah. Haji Cha tidak mempunyai anak lelaki. Anaknya tiga orang, semuanya perempuan. Anak-anak perempuannya cantik-cantik, ada rupa, tetapi dipingit dirumah.Aishah, Radhiah dan Saniah. Beliau memelihara seorang anak angkat bernama Fatimah.
Pada peperiksaan akhir tahun Darjah 6, Ustaz Haji Cha membuat pengumuman, sesiapa dapat menjawap soalan kertas pelajaran agama islam dan mendapat markah 100 peratus akan dihadiahkan dengan wang seringgit. Wang seringgit pada tahun itu amat bernilai kerana harga kueh pun hanya 5 sen seketul dan saiz kuehnya tiga kali lebih besar dari kueh yang dijual sekarang. Aku mendapat markah 100 peratus bagi kertas peperiksaan agama Islam. Ustaz Haji Cha tidak menunaikan janjinya. Apabila seorang Ustaz dan seorang yang dihormati dikampung sebagai penasihat agama dan Naib Kadhi, tidak menunaikan janji, aku tidak menghormatinya dan aku mula hilang kepercayaan kepada mereka yang bergelar Ustaz. Mulai hari itu aku memandang serong mereka yang memakai ketayap putih. Haji Cha menipu, maka semua Ustaz-Ustaz ini adalah sama dengan Haji Cha. Penipu. Menggunakan perisai agama untuk menipu. Aku tidak menghalalkan wang seringgit yang sepatutnya dihadiahkan kepada aku. Haji Cha telah lama mati, tetapi janjinya masih aku tuntut hingga ke hari ini.
”Chemistry” antara aku dan Haji Cha ini sentiasa tidak sesuai. Haji Cha juga ada menganjurkan sembahyang zohor dilakukan di masjid didalam pekan yang tidak jauh dari sekolah rendah. Sembahyang zohor ini diadakan hanya untuk murid lelaki Darjah 6. Sebagai Ketua Murid, aku dikehendaki mengimamkan sembahyang zohor berkenaan. Aku lakukan sebaik mungkin. Selepas sembahyang zohor kami berjalan kaki pulang kerumah masing-masing. Rumah aku terletak sejauh dua batu dari pekan. Haji Cha tinggal sekampung dengan keluargaku. Oleh kerana adanya kelas sembahyang zohor anjuran Haji Cha, maka kami murid lelaki Darjah 6 terpaksa pulang lewat. Kebiasaannya aku berjalan kaki seorang balik kerumah kerana murid-murid lain memilikki basikal atau tidak sejalan denganku. Tengah hari panas terik. Ketika aku berjalan balik, kereta Haji Cha dipandu perlahan ditepi aku. Haji Cha langsung tidak memberhentikan kereta menumpangkan aku pulang bersamanya. Aku berasa hati kerana telah menunaikan semua arahannya semasa sembahyang zohor. Bagiku Haji Cha seorang yang “berkira”. Selepas hari itu, aku terus hilang keyakinan kepada Ustaz yang mengajar murid-murid supaya berbuat baik, tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya. Begitu juga dengan Ustaz-Ustaz yang lain. Cakap tak serupa bikin. Meluat aku.
Ayahku selalu mengingatkan aku, sebelum pergi sembahyang Hari Raya Aidilfitri, aku hendaklah berjumpa dan memohon maaf dengan kedua ibu bapa dan guru Ouran. Aku memenuhi permintaan ayah hanya sekali untuk berjumpa Haji Cha, guru Quran aku.Pagi aidilfitri itu aku dijemput naik keatas rumah Haji Cha. Aku disuruh duduk diatas tikar ditepi pintu tengah. Haji Cha masih didapur. Aku lihat didalam cembul ditepi pintu, banyak duit syilling. Tentu duit raya kali ini aku dapat banyak dari Haji Cha, kata dalam hati. Haji Cha naik dari dapur dan duduk dihadapan aku, aku tunduk memohon maaf. Haji Cha mencapai cembul tempat wang syilling. Mengambil duit 20 sen dan memberi kepada aku. Hanya 20 sen. Kedekut. Begitu banyak wang syilling, hanya 20 sen duit raya. Aku terus bangun dan turun ikut pintu tengah dan berjalan pulang ke rumah melalui jalan dalam kampung. Sepanjang jalan aku menyumpah Haji Cha. Kata orang kedah: kedekut pelaq.
Haji Cha kemudian datang lagi dalam hidupku, ketika aku belajar ditahun kedua Universiti.Aku diserang penyakit batu karang. Mujurlah ketika itu kampus sedang bercuti. Aku diserang penyakit itu dikampung. Aku kemudiannya dimasukkan ke Hospital Daerah. Aku ditempatkan di ward kelas tiga, diletakkan dibawah pemerhatian beberapa hari dan kemudian doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan untuk membuang batu didalam buah pinggang aku. Pembedahan aku ditetapkan hari Rabu. Pagi hari selasa pihak hospital membuat pengumuman, sesiapa yang hendak meninggalkan hospital adalah dibenarkan kerana berlaku kesesakan pesakit didalam ward kelas tiga. Aku mengangkat tangan. Aku dibenarkan balik kerumah untuk berehat tetapi dikehendaki datang esoknya untuk pembedahan. Esoknya aku tidak menghadirkan diri. Petangnya ketika aku berbaring ditepi tingkap menahan sakit batu karang, Haji Cha berjalan-jalan melawat kampung. Sampai diperkarangan rumah, ibuku menjemput naik kerumah dan memaklumkan aku sedang sakit batu karang. Ibu sangat-sangat menghormati haji yang seorang ini. Haji Cha naik kerumah dan duduk disebelah aku. Aku bersalaman dan terus baring kesakitan.
“Minta Haji doakan sikit Mat tu…” pinta ibu
“Lama sangat dok sakit….tak baik-baik….”
Haji Cha mendoakan mungkin.
Hubungan aku dengan keluarga Haji Cha terputus selepas itu sehinggalah aku dimaklumkan Haji Cha meninggal dunia. Seorang menantu Haji Cha membunuh diri dengan memakan racun tikus. Seorang lagi menantunya cuba membunuh diri dengan memotong leher sendiri. Entah apa sebab dan musibahnya kepada Haji Cha, hanya Tuhan yang tahu.
Sekali peristiwa, aku berada sangat dekat dengan Rosbiyah. Waktu rehat semasa aku di Darjah 6, sekumpulan kawan-kawan sekolah yang diketuai oleh Mohamad Abu Bakar bermain “Tok Harimau”. Dua kumpulan dibentuk. Rosbiyah menganggotai salah satu daripada kumpulan itu. Aku hanya pemerhati. Mereka bermain dengan gembira sekali. Ketika itulah sebagai pemerhati, aku memerhati gelagat Rosbiyah sepenuhnya tanpa disedarinya. Aku perhatikan bentuk badannya menarik. Rosbiyah mempunyai sepasang kaki yang cantik dan jari-jari kakinya bersih. Aku memang mengaprisiasi wanita yang mempunyai kaki yang cantik dan bersih. Juga, pandai memilih kasut menghiasi kaki mereka.
Rosbiyah akan datang dalam hidupku lagi semasa kami belajar di Sekolah Menengah. Rosbiyah adalah gadis pertama mengisi hatiku.
No comments:
Post a Comment