
KAMPONG SENDUK
Suara azan memecah sunyi pagi. Ibu bangun. Menyimpul semula rambut panjangnya yang terurai. Membetulkan selimut adik-adik. Kokok ayam-ayam jantan peliharaan Tok Wan Teh telah membangunkan aku tadi. Aku duduk sambil berselimut dihujung kelambu. Meninjau-ninjau adik-adik yang tidur nyenyak. Bertumpang tindih sesama sendiri. Angin sejuk subuh tidak henti-henti menerjah masuk dicelah-celah lubang dinding bertam rumah Tok Wan Teh. Ibu sudah kedapur menyalakan pelita minyak tanah. Cahaya pelita kelihatan samar-samar melintasi pintu tengah yang memisahkan dapur dengan ruang tengah rumah Tok Wan Teh. Kami tidak tidur didalam bilik. Bilik adalah tempat tidur adik lelaki ibu.
Ayam-ayam jantan peliharaan Tok Wan Teh berselang ganti berkokok. Burung murai mula bersiulan. Siulanya panjang pendek, petah dan berlagu macam mahu menceritakan sesuatu. Kata ulama, semua makhlok Tuhan bertasbih setiap pagi mensyukuri nikmat Tuhan. Agaknya burung murai itu sedang bertasbih dengan cara tersendiri. Dalam samar-samar cahaya pelita kelihatan bayang-bayang ibu mengerjakan sembahyang subuh diruang dapur.
“aaah….….” ada laungan dalam diri, malas bangun pagi. Aku masih bertekup duduk dalam selimut sambil berangan-angan dihujung kelambu. Entah bagaimana agaknya hari pertama aku akan lalui nanti membawa bakul berisi bungkusan kacang rebus untuk diletakkan dikantin sekolah.
“Matttt….bangun…pi mandi….” Lembut dan menyenangkan. Tok Wan Teh juga dah bangun dari tidur. Dari kelambu sebelah, Tok Wan Teh mungkin ternampak aku masih duduk bertekup dalam kelambu.
“ Yaaa Tok……” aku menjawap malas.Suboh masih sejuk. Embun masih menebal.
Aku teringat kepada kawan-kawan yang aku tinggalkan di Changkat Jering setelah berpeindah ke Parit Satu. Malas dan sejuk pagi adalah mainan sekumpulan kanak-kanak yang sebaya di kampong Senduk Batu Lapan Changkat Jering dahulu. Aku, Lateh, Wahab, Mail Kudong, Lateh Mat Sarin, Led, Mizi dan Mad Rodi bersekolah pagi di Sekolah Melayu Bendang Siam. Petangnya kami belajar Agama dengan Ustazah Halimah dekat madrasah.Pagi Sabtu dan Ahad kami akan berkumpul ditebing sungai Kampung Senduk, duduk menyerangguh berbaris berselimut kain pelikat dalam sejuk pagi sebelum terjun bogel mandi dan berenang didalam sungai. Bila musim kemarau, air sungai jadi cetek dan terbentuk kolam-kolam yang dalam dikawasan lubok sungai. Dilubok-lubok ini biasanya kami mandi dan bermain ramai-ramai. Riuh rendah bercerita dan menjerit-jerit gembira. Setelah puas mandi dan bermain, kami biarkan air kering sendiri dibadan sebelum menyarung kain pelikat semula dan pulang kerumah masing-masing menjengah sarapan pagi.
Kampung Senduk adalah sebuah kampong pendalaman di Daerah Trong. Penduduk kampong mengusahakan tanaman getah, mengerjakan padi huma dan berkebun.Ayah aku dilahirkan dan dibesarkan dikampung ini. Pada awal tahun 1960, kami sekeluarga berpindah dari Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh ke Kampung Senduk kerana ayah diberhentikan bertugas sebagai tentera British atas syur British Army Medical Board kerana mengidap TB. Dikampung ini ayah menoreh getah. Kami sekeluarga menumpang dirumah Tok Ayah.
Aku pernah dihanyutkan oleh air sungai Kampong Senduk yang deras dimusim hujan. Akibatnya aku nyaris maut dimamah air sungai. Meskipun aku diselamatkan, tapi kisah aku hampir tenggelam didalam sungai sampai ketelinga ayah. Aku dimarahi dan disebat dengan tali pinggang.
Malam di Kampung Senduk amat sunyi, seawal jam lima petang aktiviti kampong mula berhenti, kampong mula redup dan gelap. Kampung diselimuti pokok-pokok rimbun yang membentuk canopy menutupi rumah-rumah yang terletak berjauhan diantara satu sama lain. Dicelah-celah pohon rimbun dipenuhi semak samun yang tebal. Kampung macam berada didalam hutan. Aktiviti malam hanyalah sembahyang jemaah maghrib dan isyak dimadrasah kampong dan anak-anak belajar mengaji Quran dengan Ustaz Zulkifli. Selepas isyak akan kedengaran bunyi tapak kaki melintasi depan rumah Tok Ayah orang-orang pulang kerumah. Sesekali kedengaran bunyi rengetan rantai basikal yang longgar dikayuh menuju ke hulu kampong. Selainnya malam diisi dengan nyanyian unggas dan burung malam.
Cuti sekolah datang semula, malam semalam hujan turun lebat. Tentunya air sungai Kampung Senduk melimpah dan arusnya deras. Pagi-pagi lagi sembilan rakan sebaya tercatuk berselimut kain pelikat mengadap air sungai yang deras. Air sampai keparas tebing. Perlahan-lahan matahari menjenguk. Hari semakin panas. Tak seorang pun antara sembilan serangkai bersedia mengucapkan sesuatu. Air sungai keruh. Arus berlenggok memotong selekoh dan deras melintasi titi batang pokok kelapa melintasi sungai. Titi untuk orang kampong menyeberang sungai ke baroh mengerjakan kebun jagung dan pisang. Batang buloh sebagai pemegang membantu orang kampong meniti batang kelapa, telah patah dan terjuntai dihujung titi sebelah baroh. Batang buluh berbuai-buai dipukul arus. Pangkal buluh masih terikat kuat dengan lilitan rotan dihujung kepala titi. Air sungai menghentam tebing, menerkam daun keladi yang separuh tenggelam. Daun keladi dibuai-buai arus. Air deras hilang diselekoh hujung tanah Tok Bomoh Mat Sarin, ke hilir bercantum dengan Sungai Trong sebelum menuju ke Kuala Trong dan kelaut Selat Melaka.
No comments:
Post a Comment