
LEPAS DARI ARUS SUNGAI, TENGGELAM DALAM ARUS CINTA
GOBEK SIREH KACANG KUDA
Apa erti sayang. Aku kurang arif mengenai maknanya sebenar.Itupun jika perasaan itu boleh ditafsir dengan tepat. Boleh digambarkan dengan perkataan. Boleh diberi makna dengan keterangan yang meyakinkan. Cumanya aku pernah dimaklumkan oleh sesaorang bahawa, sayang itu adalah kasta yang tertinggi dikalangan tiga kasta utama perasaan manusia: Sayang, kasih dan cinta. Katanya lagi, kalau sesaorang telah mampu menguasai dan mengerti rasa sayang, maka lengkaplah sebuah cinta. Aku dengan rela menerima pengkastaan itu. Kemudian, melalui talian telefon, dia menyampaikan hujah-hujahnya untuk menjustifikasikan pendapatnya. Pengucapannya cukup menarik. Aku sudah lupa kepada butiran pengucapan itu.Namun dia berjaya mempengaruhi aku. Aku menjiwai keterangan itu dan rasa bahagia kerana memahaminya. Kebahagiaan itu terasa melambung-lambung didalam diriku kerana akhirnya mengertilah aku, bahawa aku sangat-sangat menyayangi insan ini. Setelah dia meletakkan telefonnya, lambung-lambungan dalam diri aku masih tidak henti dan diluarannya aku merasakan alam sekeliling bertukar diisi-isi oleh warna-warna biru. Kata orang warna biru itu warna keriangan. Mulai saat itu, aku amat senang sekali. Enam tahun selepas perbualan telefon itu, kami berpisah. Suatu perpisahan yang harmoni. Namanya sentiasa terucapkan dan sepanjang 34 tahun bersama dengannya, tidak pernah sekali pun dia menyakiti perasaanku. Cuma ketika bertemu dengannya di Tokyo, aku berkecil hati yang amat sangat kerana dia membenarkan pertemuan itu berlaku sekadarnya. Dia tidak menghargai perjalananku yang beribu batu untuk melepas rindu bersamanya. Aku memujuk hati. Begitulah suatu pengorbanan.
Pengorbanan inilah yang menghantui hidupku kini. Semasa kecil, aku dan adik-adik begitu mewah disirami dengan kasih, sayang dan pengorbanan seorang ibu.
Tahun 1961.
Kampung Parit Satu disinari cahaya bulan penuh. Bunyi unggas membentuk simponi malam, nyaring dan segar. Burung tukang mengetuk-ngetuk tanpa henti. Angin nyaman menderu-deru berkejaran melepasi pucuk-pucuk anak padi. Angin memintas kedalam kampung. Dedaun nipah bersentuhan sesama sendiri, melahirkan semacam bunyi tepukan yang bersambung-sambung.Tepukan itu terhenti apabila angin mati. Angin datang lagi dan datang lagi. Malam jadi nyaman, romantik dan berokestra.
Pintu tengah rumah Tok Wan Teh ternganga luas. Angin menerjah masuk, mengusik-ngusik pucuk api lampu minyak tanah. Pucuk api meliuk-liuk berlenggang mengikut tari angin malam. Tok Wan Teh duduk menghadap lampu minyak tanah. Tenang dan anggun. Ibu sedang mengisi-ngisi kacang rebus kedalam bungkusannya yang berbentuk bulat tiga segi runcing kebawah. Bungkusan dibuat dari kertas suratkhabar lama. Inilah malam pertama ibu memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual kacang rebus, kemudian diikuti dengan karipap, onde-onde, apum, kueh sagu merah, cucur badak, kueh lapis dan rojak buah. Esok adalah hari pertama untuk aku berjalan ke pekan untuk menghantar bungkusan kacang rebus itu ke kantin sekolah. Dari sekolah rendah sehingga aku ditahun akhir Universiti, ibu tidak pernah berhenti membuat dan menjual kueh. Dan aku tidak pernah jemu menghantar kueh-kueh yang ibu sediakan kekedai atau kekantin sekolah dan aku kemudiannya dikenali dengan gelaran Mat Karipap.
Sambil menemani ibu menyiapkan bungkusan-bungkusan kacang kuda, aku mengobek-ngobek sireh untuk Tok Wan Teh. Adik-adik sudah lama masuk tidur didalam kelambu.Letih bermain siang tadi.
“Tok, dah..” aku menghulurkan gobek kepada Tok Wan Teh. Tok Wan Teh menyambut gobek dan mengetuk-ngetuk mulut gobek diatas tapak tangannya. Tertumpah keluar sireh pinang yang digobek dan digenggamnya.
“Tak hancoq pun..” dimasukkan semula sireh pinang yang belum begitu lumat kedalam buluh gobek dan menghulurkannya kepada aku. Aku mencapai alunya dan mengobek semula. Ibu terus sibuk menyelesaikan bungkusan-bungkusan kacang rebusnya. Aku menggunakan sepenuh tenaga mengobek sireh untuk Tok Wan Teh.
Tok Wan Teh adalah ibu kepada ibu aku.Dia lumpuh separuh badan. Tok Wan Teh bergerak dengan mengesut. Orang kampong panggil Tok Wan Teh dengan gelaran Tok Kesut. Kulitnya putih melepak, wajahnya bujur sireh dan badannya kecil comel. Rambutnya putih beruban tetapi disikat kemas oleh ibuku petang tadi selepas memandikannya. Kukira Tok Wan Teh, atau nama sebenarnya Puteh Binti Pok seorang gadis yang cantik semasa mudanya dan digilai oleh pemuda-pemuda yang sezaman dengannya.
Sambil menggobek sireh, aku mengangkat muka memandang Tok Wan Teh.Tok Wan Teh memberi isyarat supaya aku mempercepatkan kerja gobek sireh itu. Mungkin Tok Wan Teh dah ketagih sangat nak menguyah sireh gobek.Aku mencolek sedikit sireh didalam tabung gobek menggunakan hujung alu besi yang tajam. Aku renung campuran sireh, pinang, gambir dan kapur yang berwarna kemerah-merahan itu. Sudah hancur jika dibandingkan dengan hasil gobekan aku yang pertama tadi.
“Dah la tu, bawak mai sini…hancoq dah tu…nanti tembus pulak gobek aku..”Tok Wan Teh meminta aku menyerahkan gobek itu. Tok Wan Teh jadi risau, takut-takut hentakan kuat aku menggobek sireh akan menyebabkan tabung buloh gobek itu tembus.
“he, he, he…” aku ketawa kecil dan aku lihat ibu tersenyum.
Tok Wan Teh menumbuk-numbuk kecil kedalam gobek, mengores-gores dalam tabung gobek, menghentak-hentak pangkal gobek atas lantai dan kemudian memuntahkan sireh yang lumat diatas tapak tangan kirinya, melihat-lihat hasil gobek cucunya dan memasukkan kedalam mulutnya. Diulang menggores-gores, hentak-hentak dan dituangkan baki sireh keatas tapak tangan kirinya dan memakannya.
Aku duduk menyeranggoh dihadapan Tok Wan Teh. Selepas ketukan kedua Tok Wan Teh mengeluarkan baki sireh gobek, aku meniru perbuatan Tok Wan Teh untuk kali ketiga. Aku keluarkan baki sireh yang tinggal sedikit didalam buluh gobek. Letakkan atas tapak tangan dan masukkan kedalam mulut. Rasanya tidak enak, ada rasa pedas-pedas dengan ketulan kecil pinang yang tidak hancur. Tersembur keluar sireh pinang dari mulutku. Bertaburan diatas tikar mengkuang. Aku berlari kepintu tengah yang tebuka luas, berpaut pada jenang pintu dan meludah-ludah saki baki sireh yang masih ada didalam mulutku dimuka pintu.
“ Pedaaas Tok oooi….” Aku merungut ketika duduk semula dihadapan Tok Wan Teh.
“Budak-budak tak boleh makan sireeeh..”Tok Wan Teh melayan dengan lembut.
“Awat Tok?”
“Nanti hang mabuk..” jawapnya lembut.
“Mabuk tu apa Tok?”
“Penin…..sakit kepala”jelas Tok Wan Teh.
Aku berpusing menyeranggoh kehadapan ibu yang membungkus kacang tanah.
“Penin tu… yang kepala pusing-pusing tu ke mak?”
“Ya” Ibu menjawap ringkas, malas melayan pertanyaan aku. Begitulah sikap ibu kalau dia sedang sibuk bekerja.
Aku merangkak semula menyeranggoh dihadapan Tok Wan Teh.Tok Wan Teh sedang enak menguyah sireh gobek.
“Tok penin?”
Tok Wan Teh mengeleng-geleng kepala.
Malam bertambah larut. Bulan semakin rendah. Alam disirami cahaya cerah kebiru-biruan. Bungkusan kacang rebus yang telah siap, ibu aturkan didalam talam. Ibu mengemas-ngemas dan Tok Wan Teh mengesut-ngesut kearah tempat tidurnya yang telah disiapkan oleh ibu. Sebuah kelambu putih kecil telah digantung. Tok Wan Teh menyelak pintu kelambu dan mengesut diatas tilam nipis, membetulkan kedudukannya dan dengan tertib menjatuhkan badannya perlahan-lahan diatas tilam nipis. Aku dengar Tok Wan Teh membaca doa dengan suara berbisik.
Simponi malam bertambah meriah. Burung tukang tak berhenti bertukang. Irama ketukannya hampir sama temponya. Sesekali terdengar dua ketukan, sesekali tiga ketukan. Ibu menutup dan mengunci pintu tengah rumah Tok Wan Teh.Ibu memadam pelita. Aku telah masuk dalam kelambu berbaring disebelah adik. Cahaya terang bulan mencuri masuk dicelah-celah dinding bertam rumah Tok Wan Teh. Dalam kelam-kelam aku lihat ibu memasukki kelambu, membetul-betulkan selimut adik-adik dan merebahkan dirinya yang letih dihujung kaki adik. Ayah nun jauh diperantauan mencari rezeki.Aku begitu teruja untuk menanti hari esok membawa kacang rebus masakan ibu untuk dijual dikantin sekolah tempat aku belajar. Dan bermulalah suatu episod realiti dalam hidupku menjadi seorang anak penjual kueh dan anak tani dari keluarga miskin di Parit Satu.
No comments:
Post a Comment