
GELARAN MAT KARIPAP
Disuatu hari yang lain, aku sedang mandi manda bersama adik-adik didalam parit hadapan rumah Tok Wan Teh. Air parit surut kerana “orang buang air”, maksudnya air dikurangkan didalam parit untuk mengeringkan air didalam sawah kerana padi telah mula mengeluarkan buah. Tiba-tiba sebuah kereta berlalu secara perlahan dijalanraya yang terletak ditebing atas parit. Ditingkap kereta menjengok Rosbiyah memandang kearah kami. Mata bertentangan dan aku terus meleret wajahnya sehingga hilang bersama kereta ayahnya. Ayahnya adalah seorang Juruteknik Jabatan Parit dan Taliair. Rosbiyah bagiku adalah anak orang berada di pekan kecil itu jika dibandingkan dengan keluarga aku yang bekerja sawah dan menjual kueh.
Didarjah 5 inilah aku mula mendapat gelaran dikampung sebagai Mat Karipap. Dikampung aku ramai rakan-rakan yang mempunyai nama yang dipendekkan sebagai Mat. Oleh itu untuk mengenali setiap seorang, perlu diberi gelaran pada nama masing-masing. Aku dikenali dengan nama Mat Karipap atau Mat Mak Yon kerana aku menjual karipap dan nama ibuku ialah Yon. Mat Cikgu Daud adalah anak kepada Cikgu Daud yang tinggal dikampung yang sama. Mat Jongang kerana giginya jongang. Mat Lembu kerana dia membela lembu. Mat gedukgedek kerana basikalnya berbunyi gedukgedek. Mat Cikgu Rafeah kerana ibunya seorang guru bernama Rafeah. Mat Pakya kerana ayahnya bernama Yahaya.Mat Pakyasin kerana ayahnya bernama Yasin.
Aku naik darjah ke Darjah 6A. Pencapaian pelajaran masih terus cemerlang. Aku mendudukki nombor satu dalam darjah dan juga nombor satu seluruh darjah 5 semasa peperiksaan akhir tahun. Aku dilantik menjadi Ketua Darjah 6A dan sebagai Ketua Murid Sekolah Rendah. Guru Darjah ialah Cikgu Idris. Rosbiyah masih tidak bersama sekelas kerana dia mendudukki Darjah 6B. Kelasnya tidak lagi terletak di sekolah cawangan. Darjah 6B terletak disebelah kelas 6A. Namun perhatian aku kepada Rosbiyah semasa di Darjah 6 berkurangan kerana aku mendapat maklumat bahawa dia anak orang berada dan tidak setaraf dengan aku anak keluarga petani dan penjual kueh. Aku tidak berasa rendah diri sebenarnya kerana aku merupakan murid yang cemerlang, terpandai dan bertugas sebagai Ketua Murid Sekolah, tetapi aku lebih memikirkan soal kelas dan kasta dalam masyarakat. Orang miskin tidak diterima dalam masyarakat orang berada. Semasa di Darjah 6, sepanjang peperiksaan penggal dan peperiksaan akhir tahun, aku sentiasa mendapat tempat pertama didalam Darjah dan peringkat sekolah.
Di Darjah 6 juga aku mula menunjukkan kebolehan aku didalam aktiviti sukan dan “Budak Serigala”. Didalam aktiviti sukan aku mengambil bahagian didalam acara 100, 200 meter dan lari berganti-ganti. Aku memenangi beberapa piala dalam acara ini. Piala-piala ini masih tersimpan dirumah ibu. Didalam aktiviti “Budak Serigala” atau “Young Boyscout” aku terlibat didalam aktiviti sukarela dan luar sekolah seumpama membersihkan kawasan masjid dan kampung.
No comments:
Post a Comment