
SEKOLAH MELAYU
Dikampung ayahku, aku belajar didarjah dua Sekolah Rendah Bendang Siam. Guru darjahku seorang perempuan yang slim dan sexy. Guru lelaki sebelah kelas aku, bernama Cikgu Johan, sering datang mengurat guru kelas aku. Apabila diusik oleh guru lelaki itu, aku perhatikan guru kelas aku akan tersenyum-senyum. Kata orang sekarang “ada respond”.
Apabila berpindah kekampung Tok Wan Teh, aku belajar di Sekolah Rendah. Ditempatkan di Darjah Tiga. Mungkin kerana selalu bertukar sekolah, pelajaran aku tak mantap dan tidak cemerlang. Aku adalah pelajar “evarage” sahaja didalam kelas. Prestasi aku berubah apabila aku memasukki Darjah 4. Aku ditempatkan di Darjah 4A. Guru Darjah ialah Cik Gu Latifah, seorang yang serius dan garang. Suaminya juga seorang guru disekolah yang sama bernama Cik gu Yang Ahmad dan bertugas sebagai Penolong Guru Besar.Cik gu Latifah suka mencubit perut. Dicubit dan dipulasnya perut sehingga terangkat badan. Sakit. Sepanjang aku di Darjah 4A, aku pernah dicubit dan dipulas perut sekali oleh Cik gu Latifah. Kesalahan aku kerana dituduh buat bising. Sebenarnya bukan aku yang buat bising, tetapi seorang murid lelaki lain yang duduk dibelakang aku yang juga bernama Mohamad. Bila Cikgu Latifah bertanya kepada murid-murid, siapa yang buat bising tadi, ramai-ramai menjawap Mat. Tanpa bertanya lanjut, Mohamad yang mana, Cikgu Latifah terus berjalan menuju kemeja aku, meminta aku berdiri, mencubit perut dan memulaskannya sekuat-kuatnya. Dalam kesakitan, aku mempertahankan diri.
“Bukan saya Cikgu, Mohamad Bakar….”nama murid itu Mohamad Bin Abu Bakar.
“Ya Cikgu...Mat Bakar” jerit murid-murid lain.
“Diam….” Cikgu Latifah memekik.
Cikgu Latifah melepaskan cubitannya dan menuju kemeja Mohamad Bin Abu Bakar, meminta ia bangun dan menghukum Mohamad dengan cara yang sama. Aku mendapat sedekah percuma hari itu. Cikgu Latifah tidak meminta maaf kepadaku atas ketelanjurannya.
Semasa aku di Darjah 4A, pelajaran aku cemerlang. Aku mendapat markah tertinggi didalam Darjah 4A dan sekali gus mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan akhir tahun dan naik darjah bagi seluruh Darjah 4 Sekolah Rendah itu.
Semasa aku di Darjah 4, perniagaan ibu meningkat dengan membuat berbagai jenis kueh. Kueh utamanya adalah karipap. Aku masih bersekolah disebelah petang. Paginya aku masih meneruskan tugas menghantar kueh-kueh yang ibu sediakan kekantin sekolah dan beberapa kedai kopi terpilih. Aku mempunyai tugas tambahan mulai tahun itu. Setelah menghantar kueh-kueh ketempat yang ditetapkan, aku akan pergi kepasar membeli ubi keledek, kucai, kelapa parut dan udang kering. Setelah itu aku berjalan kaki pulang kerumah, menyerahkan barang pesanan ibu dan duit baki. Menanggalkan pakaian rasmi dan memakai seluar “katok” untuk turun kesawah memeriksa taut yang aku tahan semalam didalam sawah atau parit “buang”. Biasanya tak pernah taut aku tak mengena. Sama ada ikan keli, haruan atau puyu. Aku segera membawa taut dan hasilnya pulang kerumah, ibu akan menolong aku menanggalkan ikan-ikan itu dari mata kailnya, ibu akan menyiangnya dan aku akan mengenakan umpan cacing dimata kail dan “menahannya” semula ditempat-tempat yang strategik. Ikan-ikan yang memakan taut tadi, terutama ikan keli akan ibu goreng dan menjadi lauk tengah hari untuk aku makan nasi. Biasanya ibu hidangkan lauk goreng panas-panas dan kicap masin sebagai hidangan tengah hari.
Rakan-rakan sekolah sebelah petang tidak menyedari bahawa kebanyakan kueh yang dijual dikantin sekolah itu adalah hasil buah tangan ibuku dan aku yang menghantarnya pada waktu pagi. Sepanjang aku belajar di Sekolah Rendah dan Menengah, aku tidak pernah pergi makan di kantin sekolah waktu rehat kerana ibu tidak pernah membekalkan kepada aku dan adik-adik wang belanja sekolah. Biasanya pada waktu rehat aku akan duduk atau berdiri dibawah pokok didalam pagar sekolah jauh dari kantin sekolah. Kemudian kawan-kawan datang berbual dengan aku sehingga bunyi loceng masuk kelas semula. Seingatan aku, tidak pernah sekali pun ibu atau ayah memberi wang belanja sekolah, dari darjah tiga sehingga keTingkatan Lima. Juga ibu tidak membekalkan makanan dan minuman sepanjang tempoh itu. Ibu mendidik anak-anaknya erti kemiskinan dan menahan lapar.
Semasa di Darjah 4, aku dipasangkan dengan seorang pelajar perempuan yang bernama Ainun Binti Mohamad. Aku tidak tahu dimana bermulanya “pasang-memasang” ini terjadi. Mungkin kerana perawakan atau perwatakan kami berdua. Aku berbadan sasa dan sedikit tinggi, berpakaian bersih dan keterampilan yang kemas. Ainun juga seorang pelajar yang tinggi, bersih dan kemas sesuai dengan tarafnya seorang anak Penyelia yang bertugas di Town Board. Ayahnya dikenali sebagai Pak Mat Town Board. Pada masa itu aku tak mengerti apa itu “Town Board”. Malah aku ikut menyebut “Town Board” dengan sebutan “Tonbod” dan ejaannya juga dieja sebagai “Tonbod”.
Aku tidak mengambil kisah acah “pasang-pasangan” ini. Begitu juga mungkin dipihak Ainun tidak memperdulikannya. Kami hanya rakan sekelas, aku pernah menjelingnya sekali dan mata kami bertembung dan setakat itu sahaja. Ainun aku anggap sebagai rakan sekolah sebagaimana rakan-rakan yang lain. Rosbiyah belum hadir dalam hidup aku ketika itu.
No comments:
Post a Comment