Saturday, August 22, 2009


BAB 3 SECRET ADMIRER

Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan belum dibina di pekan kecil ini. Pelajar-pelajar aliran Melayu terpaksa menumpang belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris. Aku ditempatkan didalam Tingkatan 1A. Kelas terletak di tingkat satu bangunan lama Sekolah Menengah tersebut. Aku dilantik sebagai Ketua Tingkatan 1A.

Aku masih seorang anak petani dan penjual kueh. Kemiskinan terus menekan keluarga kami, tambahan pula adik-adik sudah mula bersekolah. Kehidupan aku tidak semeriah anak-anak kampung yang lain. Sebagai anak pertama, aku bertanggungjawab menghantar kueh ke kantin dan kedai-kedai kopi, kepasar membeli bahan membuat kueh, turun kesawah menolong ibu, kesekolah untuk belajar, mengambil duit jualan, membuat kerja sekolah, membaca buku sekolah dan membuat kerja rumah yang lain.Masa bermain dengan rakan-rakan sekampung amat terhad.Namun aku sempat mengenali dan bermain guli, guli batu, gasing, galah panjang, polis sentry, dato harimau, kunda-kendi, baling kotak, badminton, bola sepak, sepak takraw dan bola tampar.

Aku dan adik-adik telah diberi tanggung jawab oleh ibu untuk membantu ibu membuat kueh diwaktu malam. Aku menolong ibu membuat kueh karipap. Tugas aku ialah menyediakan nyiru tempat ibu meletakkan kueh karipap yang telah siap disi inti dan dikelip. Cara menyediakan nyiru itu ialah nyiru tersebut dibersihkan, dilapik dengan kertas suratkhabar yang bersih. Kemudian aku akan menabur tepung diatas kertas suratkhabar itu dan meratakan kedudukan tepung itu dengan tangan. Ibu akan menyusun kueh karipap diatas kertas suratkhabar tersebut sehingga memenuhi nyiru berkenaan, Setelah itu aku akan menaburkan tepung rata-rata diatas kueh-kueh karipap berkenaan. Setelah siap, aku akan menutup kueh karipap tersebut dengan kertas suratkhabar dan meletakkan nyiru tersebut ditempat yang selamat.

Seperti biasa pada waktu pagi, aku akan membawa kueh-kueh tersebut dan meletakkannya dikantin sekolah dan kedai-kedai kopi yang ditetapkan. Kemudian ke pasar, dan begitulah urusan kehidupan seterusnya.

Monday, August 17, 2009

USTAZ PENIPU

Semasa di Darjah 6 aku mengaji Quran dengan Haji Cha. Haji Cha juga merupakan guru agama di sekolah rendah. Haji Cha tidak mempunyai anak lelaki. Anaknya tiga orang, semuanya perempuan. Anak-anak perempuannya cantik-cantik, ada rupa, tetapi dipingit dirumah.Aishah, Radhiah dan Saniah. Beliau memelihara seorang anak angkat bernama Fatimah.

Pada peperiksaan akhir tahun Darjah 6, Ustaz Haji Cha membuat pengumuman, sesiapa dapat menjawap soalan kertas pelajaran agama islam dan mendapat markah 100 peratus akan dihadiahkan dengan wang seringgit. Wang seringgit pada tahun itu amat bernilai kerana harga kueh pun hanya 5 sen seketul dan saiz kuehnya tiga kali lebih besar dari kueh yang dijual sekarang. Aku mendapat markah 100 peratus bagi kertas peperiksaan agama Islam. Ustaz Haji Cha tidak menunaikan janjinya. Apabila seorang Ustaz dan seorang yang dihormati dikampung sebagai penasihat agama dan Naib Kadhi, tidak menunaikan janji, aku tidak menghormatinya dan aku mula hilang kepercayaan kepada mereka yang bergelar Ustaz. Mulai hari itu aku memandang serong mereka yang memakai ketayap putih. Haji Cha menipu, maka semua Ustaz-Ustaz ini adalah sama dengan Haji Cha. Penipu. Menggunakan perisai agama untuk menipu. Aku tidak menghalalkan wang seringgit yang sepatutnya dihadiahkan kepada aku. Haji Cha telah lama mati, tetapi janjinya masih aku tuntut hingga ke hari ini.

”Chemistry” antara aku dan Haji Cha ini sentiasa tidak sesuai. Haji Cha juga ada menganjurkan sembahyang zohor dilakukan di masjid didalam pekan yang tidak jauh dari sekolah rendah. Sembahyang zohor ini diadakan hanya untuk murid lelaki Darjah 6. Sebagai Ketua Murid, aku dikehendaki mengimamkan sembahyang zohor berkenaan. Aku lakukan sebaik mungkin. Selepas sembahyang zohor kami berjalan kaki pulang kerumah masing-masing. Rumah aku terletak sejauh dua batu dari pekan. Haji Cha tinggal sekampung dengan keluargaku. Oleh kerana adanya kelas sembahyang zohor anjuran Haji Cha, maka kami murid lelaki Darjah 6 terpaksa pulang lewat. Kebiasaannya aku berjalan kaki seorang balik kerumah kerana murid-murid lain memilikki basikal atau tidak sejalan denganku. Tengah hari panas terik. Ketika aku berjalan balik, kereta Haji Cha dipandu perlahan ditepi aku. Haji Cha langsung tidak memberhentikan kereta menumpangkan aku pulang bersamanya. Aku berasa hati kerana telah menunaikan semua arahannya semasa sembahyang zohor. Bagiku Haji Cha seorang yang “berkira”. Selepas hari itu, aku terus hilang keyakinan kepada Ustaz yang mengajar murid-murid supaya berbuat baik, tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya. Begitu juga dengan Ustaz-Ustaz yang lain. Cakap tak serupa bikin. Meluat aku.

Ayahku selalu mengingatkan aku, sebelum pergi sembahyang Hari Raya Aidilfitri, aku hendaklah berjumpa dan memohon maaf dengan kedua ibu bapa dan guru Ouran. Aku memenuhi permintaan ayah hanya sekali untuk berjumpa Haji Cha, guru Quran aku.Pagi aidilfitri itu aku dijemput naik keatas rumah Haji Cha. Aku disuruh duduk diatas tikar ditepi pintu tengah. Haji Cha masih didapur. Aku lihat didalam cembul ditepi pintu, banyak duit syilling. Tentu duit raya kali ini aku dapat banyak dari Haji Cha, kata dalam hati. Haji Cha naik dari dapur dan duduk dihadapan aku, aku tunduk memohon maaf. Haji Cha mencapai cembul tempat wang syilling. Mengambil duit 20 sen dan memberi kepada aku. Hanya 20 sen. Kedekut. Begitu banyak wang syilling, hanya 20 sen duit raya. Aku terus bangun dan turun ikut pintu tengah dan berjalan pulang ke rumah melalui jalan dalam kampung. Sepanjang jalan aku menyumpah Haji Cha. Kata orang kedah: kedekut pelaq.

Haji Cha kemudian datang lagi dalam hidupku, ketika aku belajar ditahun kedua Universiti.Aku diserang penyakit batu karang. Mujurlah ketika itu kampus sedang bercuti. Aku diserang penyakit itu dikampung. Aku kemudiannya dimasukkan ke Hospital Daerah. Aku ditempatkan di ward kelas tiga, diletakkan dibawah pemerhatian beberapa hari dan kemudian doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan untuk membuang batu didalam buah pinggang aku. Pembedahan aku ditetapkan hari Rabu. Pagi hari selasa pihak hospital membuat pengumuman, sesiapa yang hendak meninggalkan hospital adalah dibenarkan kerana berlaku kesesakan pesakit didalam ward kelas tiga. Aku mengangkat tangan. Aku dibenarkan balik kerumah untuk berehat tetapi dikehendaki datang esoknya untuk pembedahan. Esoknya aku tidak menghadirkan diri. Petangnya ketika aku berbaring ditepi tingkap menahan sakit batu karang, Haji Cha berjalan-jalan melawat kampung. Sampai diperkarangan rumah, ibuku menjemput naik kerumah dan memaklumkan aku sedang sakit batu karang. Ibu sangat-sangat menghormati haji yang seorang ini. Haji Cha naik kerumah dan duduk disebelah aku. Aku bersalaman dan terus baring kesakitan.

“Minta Haji doakan sikit Mat tu…” pinta ibu

“Lama sangat dok sakit….tak baik-baik….”

Haji Cha mendoakan mungkin.

Hubungan aku dengan keluarga Haji Cha terputus selepas itu sehinggalah aku dimaklumkan Haji Cha meninggal dunia. Seorang menantu Haji Cha membunuh diri dengan memakan racun tikus. Seorang lagi menantunya cuba membunuh diri dengan memotong leher sendiri. Entah apa sebab dan musibahnya kepada Haji Cha, hanya Tuhan yang tahu.

Sekali peristiwa, aku berada sangat dekat dengan Rosbiyah. Waktu rehat semasa aku di Darjah 6, sekumpulan kawan-kawan sekolah yang diketuai oleh Mohamad Abu Bakar bermain “Tok Harimau”. Dua kumpulan dibentuk. Rosbiyah menganggotai salah satu daripada kumpulan itu. Aku hanya pemerhati. Mereka bermain dengan gembira sekali. Ketika itulah sebagai pemerhati, aku memerhati gelagat Rosbiyah sepenuhnya tanpa disedarinya. Aku perhatikan bentuk badannya menarik. Rosbiyah mempunyai sepasang kaki yang cantik dan jari-jari kakinya bersih. Aku memang mengaprisiasi wanita yang mempunyai kaki yang cantik dan bersih. Juga, pandai memilih kasut menghiasi kaki mereka.

Rosbiyah akan datang dalam hidupku lagi semasa kami belajar di Sekolah Menengah. Rosbiyah adalah gadis pertama mengisi hatiku.

Sunday, August 16, 2009

GELARAN MAT KARIPAP

Disuatu hari yang lain, aku sedang mandi manda bersama adik-adik didalam parit hadapan rumah Tok Wan Teh. Air parit surut kerana “orang buang air”, maksudnya air dikurangkan didalam parit untuk mengeringkan air didalam sawah kerana padi telah mula mengeluarkan buah. Tiba-tiba sebuah kereta berlalu secara perlahan dijalanraya yang terletak ditebing atas parit. Ditingkap kereta menjengok Rosbiyah memandang kearah kami. Mata bertentangan dan aku terus meleret wajahnya sehingga hilang bersama kereta ayahnya. Ayahnya adalah seorang Juruteknik Jabatan Parit dan Taliair. Rosbiyah bagiku adalah anak orang berada di pekan kecil itu jika dibandingkan dengan keluarga aku yang bekerja sawah dan menjual kueh.

Didarjah 5 inilah aku mula mendapat gelaran dikampung sebagai Mat Karipap. Dikampung aku ramai rakan-rakan yang mempunyai nama yang dipendekkan sebagai Mat. Oleh itu untuk mengenali setiap seorang, perlu diberi gelaran pada nama masing-masing. Aku dikenali dengan nama Mat Karipap atau Mat Mak Yon kerana aku menjual karipap dan nama ibuku ialah Yon. Mat Cikgu Daud adalah anak kepada Cikgu Daud yang tinggal dikampung yang sama. Mat Jongang kerana giginya jongang. Mat Lembu kerana dia membela lembu. Mat gedukgedek kerana basikalnya berbunyi gedukgedek. Mat Cikgu Rafeah kerana ibunya seorang guru bernama Rafeah. Mat Pakya kerana ayahnya bernama Yahaya.Mat Pakyasin kerana ayahnya bernama Yasin.

Aku naik darjah ke Darjah 6A. Pencapaian pelajaran masih terus cemerlang. Aku mendudukki nombor satu dalam darjah dan juga nombor satu seluruh darjah 5 semasa peperiksaan akhir tahun. Aku dilantik menjadi Ketua Darjah 6A dan sebagai Ketua Murid Sekolah Rendah. Guru Darjah ialah Cikgu Idris. Rosbiyah masih tidak bersama sekelas kerana dia mendudukki Darjah 6B. Kelasnya tidak lagi terletak di sekolah cawangan. Darjah 6B terletak disebelah kelas 6A. Namun perhatian aku kepada Rosbiyah semasa di Darjah 6 berkurangan kerana aku mendapat maklumat bahawa dia anak orang berada dan tidak setaraf dengan aku anak keluarga petani dan penjual kueh. Aku tidak berasa rendah diri sebenarnya kerana aku merupakan murid yang cemerlang, terpandai dan bertugas sebagai Ketua Murid Sekolah, tetapi aku lebih memikirkan soal kelas dan kasta dalam masyarakat. Orang miskin tidak diterima dalam masyarakat orang berada. Semasa di Darjah 6, sepanjang peperiksaan penggal dan peperiksaan akhir tahun, aku sentiasa mendapat tempat pertama didalam Darjah dan peringkat sekolah.

Di Darjah 6 juga aku mula menunjukkan kebolehan aku didalam aktiviti sukan dan “Budak Serigala”. Didalam aktiviti sukan aku mengambil bahagian didalam acara 100, 200 meter dan lari berganti-ganti. Aku memenangi beberapa piala dalam acara ini. Piala-piala ini masih tersimpan dirumah ibu. Didalam aktiviti “Budak Serigala” atau “Young Boyscout” aku terlibat didalam aktiviti sukarela dan luar sekolah seumpama membersihkan kawasan masjid dan kampung.


DITEMPELENG GURU DARJAH

Ramai anak-anak petani Parit Satu yang berekolah disekolah rendah di Pekan. Ramai juga yang tidak bersekolah kerana tekanan kemiskinan. Aku bernasib baik dapat bersekolah sehingga Darjah Enam di Sekolah Rendah di pekan. Apabila aku naik darjah ke Darjah 5, kehadiran aku mula disedari oleh pihak sekolah kerana pencapaian cemerlang aku di Darjah 4. Aku dilantik sebagai Ketua Darjah 5A dan Penolong Ketua Murid sekolah. Ketua murid tahun tersebut ialah rakan sekampung bernama Zulkifli. Guru Darjah 5A ialah Cikgu Kamaruddin. Di darjah 5 juga aku terus cemerlang.

Aku bertemu Rosbiyah hanya seminggu sekali sahaja, iatu pada pagi Isnin ketika perhimpunan mingguan. Murid-murid dari sekolah cawangan yang terletak diseberang sekolah akan datang menyertai perhimpunan dan kemudian berbaris melintasi padang sekolah kembali kekelas mereka di bangunan cawangan.

Disuatu hari aku diminta oleh Cikgu Kamarudin untuk menghantar satu surat pekeliling kepada Guru Darjah 5B. Aku begitu teruja kerana berpeluang ke kelas Rosbiyah dan berharap dapat bertemu mata dengannya. Cikgu Kamarudin mengarahkan dua murid lelaki mengiringi aku ke sekolah cawangan. Kami melintasi padang dan sampai ke kelas 5B. Aku menyerahkan surat pekeliling berkenaan kepada guru darjah 5B sambil mata liar mencari Rosbiyah. Dalam keadaan yang segera itu, aku gagal melihat Rosbiyah dimana-mana.

Disuatu hari yang lain, Cikgu Kamarudin meninggalkan kelas kerana terpaksa menghadiri mesyuarat tergempar dan mengarahkan aku menjaga kelas supaya tidak bising. Aku gagal menjalankan tugas. Ketika Cikgu Kamarudin masuk semula kedalam kelas, murid-murid bising dan Cikgu Kamarudin marah kerana kelas bising. Kelas 5A pula terletak disebelah Pejabat Sekolah. Cikgu Kamarudin bertanya kenapa aku tak mengawal keadaan. Aku tak ada jawapan. Dia menghampiri meja aku dan meminta berdiri.

“Ketua darjah apa ni?.....”

“Kelas bising…”

Tiba-tiba tangannya menampar muka aku. Terasa sakit dan aku diam tak menjawap. Kelas diam dan aku duduk setelah Cikgu Kamarudin berlalu kemejanya. Dia terus mengajar sehingga samapai waktu rehat. Waktu rehat seperti biasa aku bersendirian dibawah pokok. Semasa melintasi laluan ketempat aku sering berehat, seorang rakan perempuan sekelas menyindir aku.

“Padan muka, kena tempeleng…” Kalsom Anas menjeling sambil berlalu pergi

Aku terperanjat dengan komen itu. Sepatutnya dia bersimpati dengan aku kerana bukannya aku yang membuat bising atau terlibat didalam kesalahan itu. Aku duduk dimeja aku membuat kerja-kerja sekolah. Yang membuat bising ialah kumpulannya yang duduk dibarisan belakang kelas. Dia tidak rasa bersalah pun. Kesalahan itu diletakkan kepada aku. Aku terima hukuman itu kerana gagal menjalankan tugas, tetapi bukan untuk dikutuk lagi. Cumanya aku menenangkan diri dan menyimpulkan:

“rupa-rupanya ada juga orang yang tak suka kepada aku….”

Saturday, August 15, 2009

BERSAWAH PADI

Semasa di Darjah 4 juga aku mula mengenali sawah padi dan alam sekitarnya. Ibu menyewa sepetak sawah dari Tok Wan Teh untuk diusahakan. Ibu, aku dan adik-adik mula belajar turun kesawah untuk menjadi petani dan anak petani. Istilah-istilah yang membawa maknanya tersendiri dalam dunia petani ialah melunggok, menyerak, bekas semai, menyelam, menabur, mengubah, cabut semai, serak semai, menanam, berderau, kuku kambing, baling semai, tarik semai, menyulam,merumput, sisir, tahan taut, buka air, tutup air, buang air, menggagau, pasang tuak,halau itik, tahan bubu, belat, pasang tempang, masuk isi, pepatung, goncang tin, batas ban, parit buang, taliair, pintu air, lepas air, mengerat, ambil upah, mengetam, memukul, mengibas, tanggung padi, tong padi, layar tong, pisau mengerat, mesin padi, beras baru, emping, anak lutut, tunggul padi, tanggung tong, miang padi, padi tahun, ambil upah, jahit guni, ubah tong, relong, tiga penjuru, tolak bala, menetak ikan, suloh ikan, telaga ikan, menimba ikan, sebatang rokok, masuk air, anak-anak, umpan anak-anak, anak kerengga, tumbuk haruan, parit belakang, kepala tanah dan padi kunca.

Sawah padi adalah alam yang amat indah bagiku. Alam yang indah bagi gadis itu. Kami sering mengongsi cerita-cerita keindahan sawah padi semasa kami sering bercanda dahulu. Keindahan sawah padi dan alam yang terbina darinya sentiasa segar dalam ingatan.

Pagi

Mukabumi kawasan sawah datar dan terbentang luas, berpetakpetak, dipisahkan oleh batas-batas tanah yang dijadikan tempat laluan berjalan kaki dan mengawal ketinggian air. Keadaan mukabumi yang datar dan terbentang luas, membolehkan angin menderu melintasi sawah dan menerpa kekawasan kampong. Subuh sejuk. Angin sejuk mudah masuk kedalam rumah Tok Wan Teh.Rumah Tok Wan Teh beratapkan sisipan atap nipah. Dinding adalah anyaman kulit batang bertam. Tiang adalah kayu bulat hutan yang ditarah dan diketam. Lantai papan. Bawah rumah tinggi dan bertiang banyak. Ketika angin menerkam masuk melalui celah-celah anyaman bertam, bersiulan bunyi angin menggesek tepian bertam. Bunyi siulan bertambah mersek dan halus jika kelajuan angin bertambah. Sisipan atap nipah terselak-selak melahirkan bunyi dedaun bertindih-tindih. Dedaun pokok nipah bertepok-tepok bunyinya ketika bersentuh sesama sendiri bila dilanda angin deras. Buah mempelam masak berdegup-degup mengetuk bumi, berguguran tanggal tangkai diayun angin subuh. Daun pokok mempelam berdesir-desir membentuk simponi bersambungan melayan angin yang lebih deras didahan tinggi. Dibawah sinaran samar bulan subuh, dahan dan ranting menari-nari mengugurkan dedaun kering dan buah yang masak. Pada musimnya, bumi menyambut buah-buah masak jambu bol, jambu susu, mempelam, cermai, buah nam-nam, kelapa tua, rambai, jambu batu, keriang, reminjau dan setui.

Angin subuh melunak ayunan tarian dedaun anak padi, melentuk seirama mengikut kenakalan larinya angin. Anak-anak padi menghijau berbaris tegak ketika tidak diganggu angin subuh. Embun bermutiara dihujung dedaun anak padi, menambah kepada kedinginan. Mutiara-mutiara embun setia mencerna kelip cahaya, limpahan dari sinar bulan. Air sawah tenang kerana ikan juga sedang berehat ditepian rumpai dan bernaung dibawah lumut. Batas ban kelihatan gelap lurus menguasai petak-petak sawah.

Kokok ayam jantan tetap setia menyambut subuh. Bersahut-sahutan. Masing-masing dengan lagu dan marhalahnya sendiri. Azan suboh terdengar berjauhan mengikut arah angin. Pelita-pelita dalam rumah dinyalakan semula oleh ibu-ibu yang bangun menyediakan sarapan. Dapur kayu mula bernyala dengan api meratah perlahan-lahan kayu-kayu kering dan sabut kelapa. Asap kelabu mencari tingkap berlegar-legar menyapa angin subuh. Cerek hitam legam mula digigit api merah menanak air. Air paip diambil dari pili paip sekim bekalan air luar Bandar yang terletak ditepi jalan raya. Dikawasan pendalaman, keluarga petani menggunakan air telaga sahaja untuk minum.

Burung-burung mula bertasbih. Siulan berbagai dan memeriahkan alam. Siulan burung malam, mula tidak kedengaran. Mereka masuk kesarang untuk tidur disiang hari.

Pagi mulai cerah. Burung bangau putih, berkumpulan terbang didada langit, muncul dari Kuala Gula, ditepi laut menuju sawah-sawah yang biasa dikunjungi untuk memagut anak-anak ikan. Bagai pasukan penyerang , masing-masing bergegas kewilayah yang menjanjikan anak-anak ikan segar didalam parit dan sawah. Burung bangau akan mendarat diatas batas ban. Pendaratan dilakukan mengikut giliran. Ketika mendarat, kedua-dua kaki kurus berwarna kuning dilunjurkan kehadapan dengan kedua-dua kepak didepangkan seluas-luasnya untuk menjadi penahan angin memperlahankan kelajuan terbang dan muncung diimbangkan dengan mata burung menentukan tempat mendarat. Kelajuan terbang akan menolak badan burung sedikit kehadapan ketika mendarat. Ketika kaki mencecah tanah, kepak segera dikincupkan dan burung bangau berlari beberapa langkah kehadapan akibat lonjakan kederasan pendaratan itu. Apabila badannya dapat diimbangi, burung bangau akan berhenti dan terus berjalan disekitar daerah kecilnya menjenguk-jenguk anak ikan didalam air.

Kadang-kadang aku perhatikan, berlaku juga perlanggaran sesama sendiri semasa pendaratan burung-burung bagau dibatas-batas sawah, jika kawasan pendaratan itu mempunyai kawasan yang terhad. Ketika perlanggaran ini, burung bagau yang telah selamat mendarat akan berbunyi berkuak-kuak sambil mengacah mematuk burung bangau yang menyentuhnya ketika perlanggaran itu. Burung bangau yang menyebabkan kemalangan itu berlaku, akan berlari-lari menyelamatkan diri. Ketika kekecohan kecil ini berlaku, burung-burung bangau yang lain turut berkuak-kuak memeriahkan suasana. Keadaan akan kembali sunyi kemudiannya apabila masing-masing kusyuk menunggu anak ikan timbul dipermukaan air.

Petani mula kelihatan berjalan diatas permatang menuju sawah masing-masing untuk mengerjakan tugasan yang masing-masing tetapkan. Anak padi telah tinggi, hijau, berbaris, tegak, kemas, cantik dan subur. Petani berterendak, berselitkan parang panjang dipinggang, menjinjing beg bekalan minuman dan makanan yang disediakan oleh isteri masing-masing. Singgah dibawah pokok mempelam dibatas ban, meletak beg bekalan dan menggulung rokok daun. Sambil menggulung rokok daun, petani meninjau-ninjau ketengah sawah, “berkira-kira” mengenai tugasan pagi itu. Rokok daun dilekatkan dibibir dan dinyalakan dengan pemetik api. Rokok daun disedut dalam-dalam. Api merah membakar hujung rokok dan tembakau jawa yang diwarnai dengan pewarna merah. Asap dihembus perlahan-lahan tanda kepuasan dan angin pagi mengheret asap keruang yang tiada sempadan. Setelah beberapa sedut yang menghairahkan, petani melangkah kedalam sawah menguruskan tugasan harian.

Pagi makin cerah. Ibu menungkapnya sebagai “dah pecah panas”. Ikan-ikan mula bergerak,lemah dan lembut kelubok masing-masing. Anak-anak ikan mula bermain-main kepermukaan air. Air terusik dan berkocak-kocak kecil. Makin panas permukaan air, anak ikan semakin galak bermain. Permukaan air memercik. Dedaun kecil terganggu dan rumpaiair bergoyang. Burung bangau menjengok-jengok menunggu peluang memagut.

Anak-anak petani mula berlari-lari dipermatang. Masing-masing berkejaran kelokasi taut-taut dipasang petang sebelumnya. Kebiasaannya semua taut mengena. Riuh rendah jerit gembira sambil mengangkat tinggi batang taut, menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan yang kejauhan, hasil tangkapan mereka. Taut dikumpulkan dan dibawa pulang kerumah untuk dimasak ikannya oleh keluarga masing-masing.

Petani berhenti rehat diatas batas ban sambil menguyah bekalan dan minum air kopi. Badan sudah separuh basah dan tangan berselut. Kerja menyulam hampir siap. Kejauhan mata memandang kelihatan seolah-olah terbentang permaidani hijau.

Ketika matahari tegak didada langit, petani bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing. Berahati-hati melangkah dibatas ban. Menjengok sana-sini memeriksa anak padi yang timbul kerana kurang kemas ditanam. Mencantas-cantas rumput yang tinggi. Petani turun mandi diparit belakang kampung, membasuh seluar dan baju yang kotor. Memakai kain pelekat, menyidai baju dan seluar diampaian dan naik kerumah untuk makan tengah hari dan berehat sebelum turun semula ke sawah petang nanti.

Menggunakan istilah ibu, ketika “tengah hari rembang”, sawah tidak berpenghuni. Petani berehat dirumah, suri rumah sibuk menyediakan makan tengah hari dan anak-anak kesekolah. Cahaya matahari kelihatan berkilauan diatas permukaan air. Bersilau-silau mengikut alunan ombak air yang ditiup angin. Ikan bebas bermain dilautan air sawah, memintas anak-anak padi dan berselindung dibawah lumut ekor kucing. Sesekali terdengar bunyi dentuman ikan haruan menangkap katak. Angin biasanya mati waktu tengah hari. Alam kaku dan panas. Bayang-bayang batang bemban dan menerung kelihatan lurus didalam air. Daun kelipok dan bunga teratai cantik menghias parit-parit buang. Alam damai dan tenang.

Sinar matahari tengah hari menukar kesibokan pagi menjadikan alam cerah dan damai. Ketika ini ikan galak bergerak dari satu lubok ke lubok yang lain. Anak-anak ikan berlari kepermukaan air. Kocakan air membentuk bulatan demi bulatan dan hilang ditebing batas. Didalam air terlukis gambar bayang-bayang hitam rumpai, bunga teratai, batang bemban,batang menerong, ranting-ranting, anak padi, batas-batas, jurai daun kelapa dan pepohon. Kelihatan sebagai sebuah lukisan alam yang amat indah dengan warna hijau menjadi warna dominan.

Petang

Kebiasaannya petani turun semula kesawah dengan ditemani oleh isteri masing-masing, menolong-menolong kerja yang ringan sambil memberi sokongan moral kepada suami mereka. Isteri mengenakan lilit kepala, berbaju kedah dan berkain batik lusoh menjinjing bakul makanan. Isteri bekerja berdekatan dengan suami, menumpang berani dari gangguan ular tedung senduk atau lipan air.

Petang cepat meredup. Isteri dibenarkan untuk pulang awal untuk menguruskan ayam itik, menyambut anak-anak balik sekolah dan menyediakan makan malam.

Petang malabuhkan tirai peringkat demi peringkat. Ketika cahaya merah kekuningan berada diufuk langit, petani sudah berada didalam kampung, membersihkan keliling rumah, mengumpul sampah daun dan membakarnya. Asap naik tegak kelangit kerana angin mati. Petani mengumpul sabut kelapa dibawah rumah dan membakarkannya. Asap naik keatas dan masuk kedalam rumah melalui lubang lantai papan. Asap bakaran sabut kelapa bertujuan menghalau nyamuk. Itik berkuek bising dikandang menunggu malam. Ayam telah dihalau masuk reban dan mencari-cari tempat yang sesuai untuk bertenggek malam nanti. Baju dan seluar basahan kesawah telah dibasuh dan dijemur diampaian. Esok pakai baju basahan lain. Bila senja meminta diri, ibu-ibu sibuk melaungkan nama anak-anak menyuruh segera pulang untuk dimandikan dan bersiap pergi mengaji Quran. Malam datang dengan disambut oleh nyalaan beberapa sumbu pelita didalam rumah. Mana-mana petani yang mampu,menghidupkan lampu gaselin.

Malam.

Sawah belakang rumah sunyi dan gelap. Anak-anak padi nampak berbalam-balam. Tuaq, bubu dan tempang telah dipasang dilaluan air yang strategi. Ikan menyusur masuk kedalam Tuaq, bubu dan tempang. Ikan terperangkap. Unggas malam keluar mencari rezeki. Burung Hantu menenggek diatas pokok Jambul Bol menunggu tikus keluar bermain-main ditempat lapang. Sesekali kedengaran bunyi Burung Hantu yang menakutkan itu. Taut yang mengena kelihatan melentik-melentik ditarik ikan yang cuba melepaskan diri.

Dikejauhan terdengar suara anak-anak mengaji Quran.

Malam menyaksikan banyak aksi romantik dirumah petani-petani. Teori yang sering dijaja ialah oleh kerana pada masa itu tidak ada TV dan radio dirumah, petani-petani sentiasa “menggunakan tanah yang subor untuk menanam diwaktu malam”. Tanah “sawah” memang subor dan dalam masa yang singkat keluarga petani bertambah besar.

Friday, August 14, 2009

IBU SAKIT PENDAPATAN BERKURANGAN

Suatu Ketika, ibu tiba-tiba jatuh sakit dan terpaksa memberhentikan kerja-kerja membuat kueh. Dalam tempoh ini pihak pengusaha kantin dan kedai kopi telah membenarkan orang lain membuat kueh-kueh yang dahulunya dibuat oleh ibu. Oleh itu setelah ibu sihat semula, Ibu tidak boleh membuat kueh yang telah diambilalih oleh pembekal yang baru.

Semasa ibu sakit, aku sentiasa bersama dengannya. Ibu mengeluarkan wang simpanannya dari bawah katil. Semuanya duit syiling yang disimpan didalam bekas aluminium. Duit ini digunakan untuk mengubati penyakitnya, sama ada di klinik atau sedekah kepada bomoh. Aku menemani ibu kehospital dan kilinik di pekan. Kami menaikki bas dan kadang-kadang berjalan kaki kerumah-rumah dukun. Semuanya gagal mengubati sakit ibu. Duit simpanan berkurangan, ibu masih sakit. Pendapatan sudah tiada kerana ibu tidak membuat kueh untuk jualan. Dengan izin Tuhan, ada orang mengesyurkan ibu berubat dengan seorang sami China yang tinggal tidak jauh dari rumah Tok Wan Teh. Pada hari yang ditetapkan, aku adik perempuan dan lelaki menemani ibu ke rumah sami tersebut. Kami disuruh menunggu diluar rumah kerana pada ketika itu, sami itu sedang mengubat seorang yang lain. Aku melihat-lihat kedalam rumah sami itu. Kelihatan dia berpakaian hitam, sedang memegang colok dan menyembah-nyembah lembaga patong Tok Pekongnya. Apabila sampai giliran ibu, kami dipanggil masuk, disuruh duduk diatas kerusi panjang. Pembantu sami menyoal beberapa soalan kepada ibu. Aku melihat sami menulis sesuatu diatas kertas kuning berlilit warna merah. Kertas itu dibakar didalam pinggan dan habuknya dikumpulkan dan diserahkan kepada ibu. Ibu diminta merebuskan habuk kertas itu dan meminum airnya. Ibu memberi sedikit wang dan kami pulang. Ibu meminum air rebusan itu beberapa hari dan dengan izin Tuhan penyakitnya sembuh dan ibu pulih seperti sediakala.

Ibu ingin kembali membuat kueh. Tetapi semua kueh yang pernah ibu jual telah diambil alih oleh orang lain. Mengikut amalan, ibu tidak boleh membuat kueh yang sama dan menjualnya ditempat lama dulu. Tekanan hidup dan kemiskinan mula meratah hidup kami. Gaji ayah tidak mencukupi. Ibu memutuskan untuk membuat rojak buah yang dibungkus dengan daun pisang. Bungkusannya berbentuk bungkusan tapai. Rojak buah ini dijual dikantin pada sesi sekolah sebelah petang. Aku yang bersekolah sesi petang ketika itu ditugaskan membawa bungkusan rojak itu kekantin sekolah. Bungkusan rojak itu dimasukkan kedalam beg sekolah aku , yang dibuat dari rotan. Buku-buku sekolah aku diikat dengan tali dan aku membimbitnya. Apabila semua bungkusan rojak itu dikeluarkan oleh pengusaha kantin, aku boleh menggunakan semula beg sekolah itu. Hari pertama semua rojak habis dijual. Semasa aku memasukki kelas selepas rehat, aku berselisih dengan Che Ani, rakan sekelas dan aku mendengar kata-katanya.

“eeee….rojak tu sedaaap”

Dalam hati aku berasa bangga dan Che Ani serta rakan yang lain tidak menyedari ibuku yang membuat rojak itu.

Rojak itu dijual pada hari kedua. Ibu tidak lagi membungkusnya dalam bentuk bungkusan tapai tetapi membungkusnya berbentuk bungkusan nasi lemak. Aku menghantarnya kekantin sekolah, mengambil beg aku semula dan masuk belajar. Masa rehat seperti biasa aku menjauhi kantin sekolah dan sebelum pulang kerumah aku singgah dikantin sekolah untuk mengambil duit jualan rojak. Aku terpaksa mengikat semula semua buku sekolah aku, kerana pada hari kedua itu, satu pun rojak itu tak laku dijual. Ketika aku sampai kerumah, ibu sudah menunggu dipintu tengah rumah Tok Wan Teh. Ibu menyambut kepulanganku dengan senyum, dia faham nasibnya dan anaknya petang itu. Aku menyerahkan beg itu pada ibu tanpa wang jualan. Ibu menyambutnya. Aku letakkan buku yang diikat dimuka pintu. Ibu hilang didapur. Mungkin menangisi nasibnya. Aku menukar pakaian sekolah. Terus berlari kesawah dibelakang rumah, memeriksa taut yang aku tahan pagi tadi sebelum aku kesekolah.

Selang beberapa lama kemudian, ibu mendapat semula haknya untuk membuat kueh karipap, onde-onde, apum, kueh sagu berbalut kelapa parut, kueh lapis dan cucur badak. Ibu menjadi sibuk semula dan kehidupan kami menjadi lebih ceria. Pelajaran aku meningkat dan aku terus menjalankan tugas rutin menghantar kueh dengan berjalan kaki dan kepasar membeli bahan-bahan untuk membuat kueh. Dunia aku ketika itu adalah dunia tanggung jawab dan belajar. Masa bermain dengan kawan-kawan sekampung menjadi kurang.


SEKOLAH MELAYU

Dikampung ayahku, aku belajar didarjah dua Sekolah Rendah Bendang Siam. Guru darjahku seorang perempuan yang slim dan sexy. Guru lelaki sebelah kelas aku, bernama Cikgu Johan, sering datang mengurat guru kelas aku. Apabila diusik oleh guru lelaki itu, aku perhatikan guru kelas aku akan tersenyum-senyum. Kata orang sekarang “ada respond”.

Apabila berpindah kekampung Tok Wan Teh, aku belajar di Sekolah Rendah. Ditempatkan di Darjah Tiga. Mungkin kerana selalu bertukar sekolah, pelajaran aku tak mantap dan tidak cemerlang. Aku adalah pelajar “evarage” sahaja didalam kelas. Prestasi aku berubah apabila aku memasukki Darjah 4. Aku ditempatkan di Darjah 4A. Guru Darjah ialah Cik Gu Latifah, seorang yang serius dan garang. Suaminya juga seorang guru disekolah yang sama bernama Cik gu Yang Ahmad dan bertugas sebagai Penolong Guru Besar.Cik gu Latifah suka mencubit perut. Dicubit dan dipulasnya perut sehingga terangkat badan. Sakit. Sepanjang aku di Darjah 4A, aku pernah dicubit dan dipulas perut sekali oleh Cik gu Latifah. Kesalahan aku kerana dituduh buat bising. Sebenarnya bukan aku yang buat bising, tetapi seorang murid lelaki lain yang duduk dibelakang aku yang juga bernama Mohamad. Bila Cikgu Latifah bertanya kepada murid-murid, siapa yang buat bising tadi, ramai-ramai menjawap Mat. Tanpa bertanya lanjut, Mohamad yang mana, Cikgu Latifah terus berjalan menuju kemeja aku, meminta aku berdiri, mencubit perut dan memulaskannya sekuat-kuatnya. Dalam kesakitan, aku mempertahankan diri.

“Bukan saya Cikgu, Mohamad Bakar….”nama murid itu Mohamad Bin Abu Bakar.

“Ya Cikgu...Mat Bakar” jerit murid-murid lain.

“Diam….” Cikgu Latifah memekik.

Cikgu Latifah melepaskan cubitannya dan menuju kemeja Mohamad Bin Abu Bakar, meminta ia bangun dan menghukum Mohamad dengan cara yang sama. Aku mendapat sedekah percuma hari itu. Cikgu Latifah tidak meminta maaf kepadaku atas ketelanjurannya.

Semasa aku di Darjah 4A, pelajaran aku cemerlang. Aku mendapat markah tertinggi didalam Darjah 4A dan sekali gus mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan akhir tahun dan naik darjah bagi seluruh Darjah 4 Sekolah Rendah itu.

Semasa aku di Darjah 4, perniagaan ibu meningkat dengan membuat berbagai jenis kueh. Kueh utamanya adalah karipap. Aku masih bersekolah disebelah petang. Paginya aku masih meneruskan tugas menghantar kueh-kueh yang ibu sediakan kekantin sekolah dan beberapa kedai kopi terpilih. Aku mempunyai tugas tambahan mulai tahun itu. Setelah menghantar kueh-kueh ketempat yang ditetapkan, aku akan pergi kepasar membeli ubi keledek, kucai, kelapa parut dan udang kering. Setelah itu aku berjalan kaki pulang kerumah, menyerahkan barang pesanan ibu dan duit baki. Menanggalkan pakaian rasmi dan memakai seluar “katok” untuk turun kesawah memeriksa taut yang aku tahan semalam didalam sawah atau parit “buang”. Biasanya tak pernah taut aku tak mengena. Sama ada ikan keli, haruan atau puyu. Aku segera membawa taut dan hasilnya pulang kerumah, ibu akan menolong aku menanggalkan ikan-ikan itu dari mata kailnya, ibu akan menyiangnya dan aku akan mengenakan umpan cacing dimata kail dan “menahannya” semula ditempat-tempat yang strategik. Ikan-ikan yang memakan taut tadi, terutama ikan keli akan ibu goreng dan menjadi lauk tengah hari untuk aku makan nasi. Biasanya ibu hidangkan lauk goreng panas-panas dan kicap masin sebagai hidangan tengah hari.

Rakan-rakan sekolah sebelah petang tidak menyedari bahawa kebanyakan kueh yang dijual dikantin sekolah itu adalah hasil buah tangan ibuku dan aku yang menghantarnya pada waktu pagi. Sepanjang aku belajar di Sekolah Rendah dan Menengah, aku tidak pernah pergi makan di kantin sekolah waktu rehat kerana ibu tidak pernah membekalkan kepada aku dan adik-adik wang belanja sekolah. Biasanya pada waktu rehat aku akan duduk atau berdiri dibawah pokok didalam pagar sekolah jauh dari kantin sekolah. Kemudian kawan-kawan datang berbual dengan aku sehingga bunyi loceng masuk kelas semula. Seingatan aku, tidak pernah sekali pun ibu atau ayah memberi wang belanja sekolah, dari darjah tiga sehingga keTingkatan Lima. Juga ibu tidak membekalkan makanan dan minuman sepanjang tempoh itu. Ibu mendidik anak-anaknya erti kemiskinan dan menahan lapar.

Semasa di Darjah 4, aku dipasangkan dengan seorang pelajar perempuan yang bernama Ainun Binti Mohamad. Aku tidak tahu dimana bermulanya “pasang-memasang” ini terjadi. Mungkin kerana perawakan atau perwatakan kami berdua. Aku berbadan sasa dan sedikit tinggi, berpakaian bersih dan keterampilan yang kemas. Ainun juga seorang pelajar yang tinggi, bersih dan kemas sesuai dengan tarafnya seorang anak Penyelia yang bertugas di Town Board. Ayahnya dikenali sebagai Pak Mat Town Board. Pada masa itu aku tak mengerti apa itu “Town Board”. Malah aku ikut menyebut “Town Board” dengan sebutan “Tonbod” dan ejaannya juga dieja sebagai “Tonbod”.

Aku tidak mengambil kisah acah “pasang-pasangan” ini. Begitu juga mungkin dipihak Ainun tidak memperdulikannya. Kami hanya rakan sekelas, aku pernah menjelingnya sekali dan mata kami bertembung dan setakat itu sahaja. Ainun aku anggap sebagai rakan sekolah sebagaimana rakan-rakan yang lain. Rosbiyah belum hadir dalam hidup aku ketika itu.

BAB 2

MAT KARIPAP SYOK KAT ROSBIYAH

KAK NAH DAN KOMIK

Aku mula mengenali seorang pelajar perempuan yang menawan, ketika aku memeriksa perbarisan perhimpunan sekolah. Aku terpegun dengan kejelitaannya. Kata orang sekarang “cute” .Aku tidak tahu namanya. Dia berada didalam Darjah 5B. Padang sekolah memisahkan bangunan yang menempatkan kelasnya dengan bangunan utama sekolah. Aku adalah Ketua Darjah 5A dan Penolong Ketua Murid sekolah. Kelas aku berada di bangunan utama sekolah. Aku berkesempatan menatap wajahnya hanya seminggu sekali diwaktu perhimpunan sekolah.

Aku memulakan alam persekolahan pada tahun 1959 di Sekolah Melayu Kampung Melayu Sungai Rapat. Ayah menghantar aku kesekolah pada hari pertama. Hari-hari berikutnya aku ditemani oleh seorang “kakak” yang tinggal berhampiran rumah aku, yang belajar disekolah yang sama. Murid-murid tidak dibekalkan dengan buku. Setiap murid mesti mempunyai “papan batu” dan kapor untuk menulis diatas papan batu. Papan batu tidak dibawa pulang kerumah selepas waktu sekolah. Murid-murid menulis diatas papan batu, dan apabila tulisan itu memenuhi papan batu, tulisan dengan menggunakan kapor itu dipadamkan dengan menggunakan tapak tangan.

Kampung Melayu banyak mendidik aku. Kampung Melayu membina asas hidupku. Ayah, yang bertugas sebagai sarjan didalam perkhidmatan British Army, selalu membelikan aku komik-komik mingguan Beano, Dandy, Topper, Brezzer dan komik-komik cerita cowboy seperti David Crokket dan Kit Carson. Aku mula berminat melukis dan belajar bahasa Inggeris melalui melihat gambar-gambar dan cerita-cerita lucu didalam komik mingguan yang berharga 15 sen senaskhah itu. Aku juga mengumpul komik-komik cerita cowboy dan sangat cemburu untuk memberi pinjam komik-komik ini kepada kawan-kawan. Diantara buku komik cerita cowboy itu aku menangi apabila dipilih sebagai johan menyanyi yang dianjurkan oleh Kak Nah jiran sebelah rumah.

Entah bagaimana pada suatu pagi hari sabtu, Kak Nah mengumpul beberapa orang kanak-kanak lelaki dan membuat pengumuman mengadakan pertandingan menyanyi lagu Melayu. Kami disuruh memilih lagu kegemaran masing-masing. Hadiah johan ialah dua buah komik cerita cowboy, naib johan diberi sebuah komik cowboy dan pemenang ketiga menerima komik Beano. Kak Nah menyediakan sebuah tong kayu bekas tempat mengisi susu tin sebagai pentas. Pengadilnya Kak Nah sendiri. Aku menyanyikan lagu “Tudong Periok” yang aku hafal. Mulai saat itu aku mula mengenali erti pertandingan menyanyi, berdiri diatas pentas, membina keyakinan diri, memenangi hadiah dan berminat untuk terus menyanyi.

Kak Nah adalah seorang gadis hitam manis yang berumur dalam lengkongan 11 tahun, anak jiran sebelah rumahku, seorang yang ramah dan berbadan solid . Dia pandai berhias diri dan sentiasa kelihatan kemas. Dari pandang mata kasar, keluarga mereka adalah keluarga berada dan tergulong dalam kelas elite dikampung itu.

Disuatu hari yang lain, Kak Nah ajak aku main “rumah-rumah”. Dipenjuru sebelah beranda luar rumahnya digantung dengan kain pelikat empat penjuru, kelihatan berbentuk kandang. Didalam kandang itu hanya aku dan Kak Nah sahaja bermain “mengemas rumah, masak-masak dan makan-makan”. Aku perhatikan ada satu anak patung menyerupai perempuan, yang bogel dibaringkan diatas sebuah bantal kecil. Tiba-tiba Kak Nah ajak aku bermain “perempuan beranak” . Aku mengikut sahaja. Kak Nah minta aku jadi bidan, dia tunjukkan caranya. Setelah berpuas hati yang aku memahami cara-caranya, Kak Nah baring terlentang, menyelak gaun yang dipakainya sehingga kelihatan seluar kecilnya dan dia meminta aku menyurung anak patung itu dicelah kangkangnya. Aku melakukannya dan kemudian dia bangun, membetulkan gaunnya dan mengendung anak patung itu. Aku tidak mengerti apa-apa dan tidak belajar apa-apa. Tetapi yang aku lihat ialah seluar kecil dicelah kangkang seorang gadis.

Disuatu petang yang lain, Ibu telah memandikan aku, dibedaknya dan dipakainya dengan pakaian malam yang bersih dan kemas. Aku tidak dibenarkan bermain lagi, Cuma boleh berda diberanda rumah sementara menunggu ayah pulang dari kerja. Kak Nah keluar dari rumah sebelah. Kelihatan kemas, berbaju dan gaun warna ungu pendek sampai kelulut. Dia memanggil aku menghampirinya.

“Mat…hang nak tengok….”bisiknya

“Tengok apa?” bisik balas

“Tengok ya…”

Kak Nah pergi kehalaman rumah tidak jauh dari hujung beranda dan beliau memusingkan badannya sedikit laju dan terselak gaunnya keatas sehingga keparas pinggang. Dari pinggang kebawah, Kak Nah tidak memakai seluar kecilnya. Aku melihat dengan jelas bahagian yang sulitnya. Setelah itu Kak Nah terus masuk kerumahnya dan aku masih berlegar diberanda menunggu ayah pulang petang itu. Aku melihat sesuatu yang aku tidak mengerti mengapa harus ditunjukkan kepada aku.

Kedua-dua peristiwa itu tidak aku ceritakan kepada sesiapa kerana kedua-duanya terlampau naïf bagiku pada masa itu. Ianya kekal dalam ingatan sehingga ke suatu hari aku mempelajari kegunaannya.

Thursday, August 13, 2009

JALAN TEPI-TEPI

“Mat….bangunn….amboooi dia tidokk balik..” terkejut aku dari lamunan, mengesat-ngesat mata dan menonong keluar dari kelambu menuju ke dapur. Ibu segera memegang tanganku dan mencapai tuala.

Matahari pagi mula meninggi. Ibu memakaikan aku baju kemeja tangan pendek warna kuning air dan seluar pendek warna coklat cerah. Orang sekarang kata warna “matching”. Ibu tak pernah belajar tentang warna pakaian. Pakaian yang ada, dibasuhnya dengan bersih dan digosoknya dengan penggosok tembaga yang diisi bara arang kayu.

Bungkusan kacang rebus telah dimasukkan kedalam beg kertas besar. Ibu letakkan ditepi jenang pintu tengah, rumah Tok Wan Teh. Ibu membekalkan aku dengan sebungkus kacang rebus untuk mengalas perut. Dalam beg kertas ibu masukkan 40 bungkus kacang rebus. Sebungkus harganya lima sen.

Tok Wan Teh telah pun mengesot duduk ditepi pintu tengah. Masih anggun. Wajahnya tenang dan memandang keluar rumah melihat kejauhan tanpa batasan.

Aku menuruni anak tangga pintu tengah dan memakai selipar jepun. Kemudiannya ibu menuruni anak tangga sambil menjinjing beg kertas. Ibu menyerahkan beg kertas kepada aku dan pesan-memesan.

“Ingat…lintas jalan baik-baik…tengok kiri kanan”

“Jalan atas rumput ditepi jalan…..”

“Jangan singgah mana-mana…….”

“Pegang beg ni elok-elok”

“Hantaq terus beg ni kat Pak Chor di kantin sekolah”

“Lepas hantaq beg ni…jangan pi mana-mana…..balik”

“Balik lekass….tengah hari hang nak pi sekolah plak” tambah Tok Wan Teh.

Aku hanya menganggok-anggok tanda menerima semua pesan-memesan.

“Pi dulu mak…..tok…” Tanpa menoleh aku meninggalkan halaman rumah Tok Wan Teh. Aku memenuhi pesan ibu satu persatu. Lintas jalan, berjalan atas rumput, tidak singgah mana-mana, memegang beg dengan hati-hati, dan menyerahkan beg itu kepada Pak Chor di kantin sekolah. Selesai tugas-tugas yang diamanahkan oleh ibu, aku terus berlari ketepi padang sekolah , memerhati kawan-kawan berlatih sukan. Pak Chor berpesan sebelum aku balik kerumah, datang berjumpa dengannya. Aku teruja melihat rakan sekolah berlari passing button mengelilingi padang. Keghairahan itu dimatikan oleh Pak Chor.

“Pi balik lekass….nanti mak hang risau….”

“Mai minum ayaq kacang dulu….”

Pak Chor menyediakan air batu campur semangkok dan aku menghabiskannya dimeja kantin sekolah.


TARZAN KAMPONG HANYUT DALAM SUNGAI SENDUK

“Aku nak terjun berenang kesebelah sana……” Wahab memecah sunyi menyatakan hasrat hati dalam loghat petani.

“Air dalam…Hab” Lateh cuba menghalang.

“Deras!” Mizi bersuara mengulum sambil mengemas ikatan kain pelikat lusohnya.

“Sungai bukan luass….. “ Wahab membantah “ Aku boleh lepas….” Wahab sudah berkira-kira hendak menanggalkan kain pelikat.Kain pelikat sudah menyinding sebelah. Wahab pakai seluar katuk.

“Wahab…sat ni hang hanyuttt…” aku menyonsong dengan loghat kedah.

“hangpa takutttt” loghat petaninya bercampur loghat kedah. Wahab melunggokkan kain pelikatnya ditepi tebing dan merenung selekoh sungai yang terlindung dihujung tanah Tok Bomoh Mat Sarin. Kata orang, selekoh pokok tebrau itu tempat Tok Bomoh Mat Sarin membuang hantu jembalang.

Wahab terjun. Berenang gaya kampong menuju seberang sungai, badan kecilnya diheret arus kehilir, Wahab terus mendepang tangan kedepan dengan kedua kakinya memukul air berusaha keras melonjak badannya dengan segera ketebing menghala ke baroh. Tenaga Wahab kuat. Wahab sampai dicelah-celah daun keladi dan mencengkam rumput tebing melonjakkan badannya memanjat tebing sungai sebelah baroh. Wahab segera mengaleh pandangannya kepada lapan lagi rakannya yang masih menyerangguh ditebing sebelah kampong.

“Oooi…terjunlaaa…” Wahab menjerit sambail melambai-lambai. Wahab kelihatan menggigil dan duduk diatas batang rumbia yang tumbang.

Led, sepupu Wahab, terjun dan lepas.

“Oi budak pekan….terjunlahhh” Led mula mencabar aku. Aku digelar “Bukan Pekan” kerana aku pulang kekampung dari Ipoh, sebuah bandar atau pekan.

Umur aku pada ketika itu baru 8 tahun. Bukan seorang budak kampong yang cergas dan cegar. Aku tidak pandai berenang. Tetapi ego aku tercabar. Aku perhatikan air sungai tetap deras. Aku tidak berfikir panjang. Kawan-kawan yang lain hanya memandang aku menanggalkan kain pelikat dan bersiap untuk terjun dan berenang. Apa yang ada dalam fikiran mereka ketika itu aku kurang jelas. Mereka mungkin ingin melihat kehebatan seorang budak pekan.

Aku terjun sejauh mungkin untuk memendekkan jarak untuk aku berenang. Selepas tenggelam beberapa ketika, aku timbul dan mula mendepang tangan berenang kearah tebing. Kedua kaki, aku pukul keair menolak badan aku kehadapan. Tetapi teknik itu salah kesemuanya. Aku hanya menepok air menggunakan tangan dan kaki. Air deras menolak aku kehilir dengan laju, melintasi titi batang kelapa dan diheret ketebing sungai kesebelah baroh. Aku menjerit minta tolong. Dari hujung anak mata semasa aku tenggelam timbul, aku lihat kawan-kawan ditebing sungai berdiri dan kaku.

Aku terus hanyut. Air deras menolak aku kearah tebing. Aku cuba sekuat tenaga memachu diriku ketebing dan mencapai daun-daun keladi. Aku berjaya mencapai sehelai daun keladi sederhana besar, tiba-tiba aku terfikir, jika aku rentap daun keladi ini, daun akan putus dan aku terus hanyut. Dengan meringankan badan, aku tarik daun keladi secara teguh dan membawa diri aku ke tebing. Aku merangkak memanjat tebing dan duduk dicelah-celah pokok terberau. Daunnya miang dan melukakan. Setelah meraih kembali tenaga yang masih tinggal, aku berjalan kearah hujung titi pokok kelapa. Kawan-kawan masih tidak berbuat apa-apa. Mungkin mereka bersyukur kerana aku selamat. Aku mula meniti titi batang kelapa.

“Tengook….tarzan selamattt…” aku memekik sewaktu meniti batang kelapa. Aku tidak kenal siapa tarzan. Sewaktu di Ipoh dulu, aku pernah melihat gambar cerita tarzan didalam komik yang ayah bawa pulang. Kawan-kawan di Kampung Senduk juga tidak pernah kenal siapa tarzan dan apa kaitan tarzan dengan kejadian aku hanyut tadi. Badan aku masih basah ketika meniti titi batang kelapa. Ketika aku menunjuk-nunjuk akulah tarzan, kaki aku tergelincir dan aku jatuh semula kedalam sungai. Tangan aku terpegang batang buluh yang terbuai-buai dipukul arus. Aku berpaut pada batang buluh dan menjerit meminta tolong. Tarzan Kampung Senduk menjerit minta tolong!. Nasib baik kawan-kawan Kampung Senduk belum mengenali siapa tarzan sebenar. Sambil berpegang pada buluh pengadang titi yang patah itu, aku cuba mencapai tebing dibawah kepada titi. Gagal. Aku menyedari ada usaha-usaha dari kawan-kawan menolong aku supaya tidak hanyut kali kedua. Kawan-kawan menyeberangi sungai melalui titi batang kelapa dan membuat rangkaian sambungan tangan beramai-ramai dan kawan yang terakhir memegang tangan aku dan ramai-ramai mereka menarik rangkaian itu ke tebing sungai. Sekali lagi aku diselamat dari hanyut.

Ketika meniti batang kelapa menyeberangi sungai, aku sudah tidak berani lagi berlagak sebagai tarzan. Kami meniti seorang demi seorang berhati-hati.Kawan-kawan mengambil keputusan pulang kerumah masing-masing. Ketika jalan berbaris menuju haluan masing-masing, tidak ada sepatah kata kedengaran.

Kisah aku dihanyutkan oleh air sungai yang deras ini, aku ceritakan semula kepada dia ketika kami mula bercinta dan sedang melalui zaman indah. Dia menjumpai sebuah sajak yang disiarkan dalam ruangan sajak akhbar tempatan. Sajak itu cukup bermakna buat kami ketika itu.

”Semasa kecil

Aku dihanyutkan air sungai

Aku lepas diri

Ketika dewasa

Aku dihanyutkan arus cinta

Aku tenggelam

Tidak dapat melepas diri”

KAMPONG SENDUK

Suara azan memecah sunyi pagi. Ibu bangun. Menyimpul semula rambut panjangnya yang terurai. Membetulkan selimut adik-adik. Kokok ayam-ayam jantan peliharaan Tok Wan Teh telah membangunkan aku tadi. Aku duduk sambil berselimut dihujung kelambu. Meninjau-ninjau adik-adik yang tidur nyenyak. Bertumpang tindih sesama sendiri. Angin sejuk subuh tidak henti-henti menerjah masuk dicelah-celah lubang dinding bertam rumah Tok Wan Teh. Ibu sudah kedapur menyalakan pelita minyak tanah. Cahaya pelita kelihatan samar-samar melintasi pintu tengah yang memisahkan dapur dengan ruang tengah rumah Tok Wan Teh. Kami tidak tidur didalam bilik. Bilik adalah tempat tidur adik lelaki ibu.

Ayam-ayam jantan peliharaan Tok Wan Teh berselang ganti berkokok. Burung murai mula bersiulan. Siulanya panjang pendek, petah dan berlagu macam mahu menceritakan sesuatu. Kata ulama, semua makhlok Tuhan bertasbih setiap pagi mensyukuri nikmat Tuhan. Agaknya burung murai itu sedang bertasbih dengan cara tersendiri. Dalam samar-samar cahaya pelita kelihatan bayang-bayang ibu mengerjakan sembahyang subuh diruang dapur.

“aaah….….” ada laungan dalam diri, malas bangun pagi. Aku masih bertekup duduk dalam selimut sambil berangan-angan dihujung kelambu. Entah bagaimana agaknya hari pertama aku akan lalui nanti membawa bakul berisi bungkusan kacang rebus untuk diletakkan dikantin sekolah.

“Matttt….bangun…pi mandi….” Lembut dan menyenangkan. Tok Wan Teh juga dah bangun dari tidur. Dari kelambu sebelah, Tok Wan Teh mungkin ternampak aku masih duduk bertekup dalam kelambu.

“ Yaaa Tok……” aku menjawap malas.Suboh masih sejuk. Embun masih menebal.

Aku teringat kepada kawan-kawan yang aku tinggalkan di Changkat Jering setelah berpeindah ke Parit Satu. Malas dan sejuk pagi adalah mainan sekumpulan kanak-kanak yang sebaya di kampong Senduk Batu Lapan Changkat Jering dahulu. Aku, Lateh, Wahab, Mail Kudong, Lateh Mat Sarin, Led, Mizi dan Mad Rodi bersekolah pagi di Sekolah Melayu Bendang Siam. Petangnya kami belajar Agama dengan Ustazah Halimah dekat madrasah.Pagi Sabtu dan Ahad kami akan berkumpul ditebing sungai Kampung Senduk, duduk menyerangguh berbaris berselimut kain pelikat dalam sejuk pagi sebelum terjun bogel mandi dan berenang didalam sungai. Bila musim kemarau, air sungai jadi cetek dan terbentuk kolam-kolam yang dalam dikawasan lubok sungai. Dilubok-lubok ini biasanya kami mandi dan bermain ramai-ramai. Riuh rendah bercerita dan menjerit-jerit gembira. Setelah puas mandi dan bermain, kami biarkan air kering sendiri dibadan sebelum menyarung kain pelikat semula dan pulang kerumah masing-masing menjengah sarapan pagi.

Kampung Senduk adalah sebuah kampong pendalaman di Daerah Trong. Penduduk kampong mengusahakan tanaman getah, mengerjakan padi huma dan berkebun.Ayah aku dilahirkan dan dibesarkan dikampung ini. Pada awal tahun 1960, kami sekeluarga berpindah dari Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh ke Kampung Senduk kerana ayah diberhentikan bertugas sebagai tentera British atas syur British Army Medical Board kerana mengidap TB. Dikampung ini ayah menoreh getah. Kami sekeluarga menumpang dirumah Tok Ayah.

Aku pernah dihanyutkan oleh air sungai Kampong Senduk yang deras dimusim hujan. Akibatnya aku nyaris maut dimamah air sungai. Meskipun aku diselamatkan, tapi kisah aku hampir tenggelam didalam sungai sampai ketelinga ayah. Aku dimarahi dan disebat dengan tali pinggang.

Malam di Kampung Senduk amat sunyi, seawal jam lima petang aktiviti kampong mula berhenti, kampong mula redup dan gelap. Kampung diselimuti pokok-pokok rimbun yang membentuk canopy menutupi rumah-rumah yang terletak berjauhan diantara satu sama lain. Dicelah-celah pohon rimbun dipenuhi semak samun yang tebal. Kampung macam berada didalam hutan. Aktiviti malam hanyalah sembahyang jemaah maghrib dan isyak dimadrasah kampong dan anak-anak belajar mengaji Quran dengan Ustaz Zulkifli. Selepas isyak akan kedengaran bunyi tapak kaki melintasi depan rumah Tok Ayah orang-orang pulang kerumah. Sesekali kedengaran bunyi rengetan rantai basikal yang longgar dikayuh menuju ke hulu kampong. Selainnya malam diisi dengan nyanyian unggas dan burung malam.

Cuti sekolah datang semula, malam semalam hujan turun lebat. Tentunya air sungai Kampung Senduk melimpah dan arusnya deras. Pagi-pagi lagi sembilan rakan sebaya tercatuk berselimut kain pelikat mengadap air sungai yang deras. Air sampai keparas tebing. Perlahan-lahan matahari menjenguk. Hari semakin panas. Tak seorang pun antara sembilan serangkai bersedia mengucapkan sesuatu. Air sungai keruh. Arus berlenggok memotong selekoh dan deras melintasi titi batang pokok kelapa melintasi sungai. Titi untuk orang kampong menyeberang sungai ke baroh mengerjakan kebun jagung dan pisang. Batang buloh sebagai pemegang membantu orang kampong meniti batang kelapa, telah patah dan terjuntai dihujung titi sebelah baroh. Batang buluh berbuai-buai dipukul arus. Pangkal buluh masih terikat kuat dengan lilitan rotan dihujung kepala titi. Air sungai menghentam tebing, menerkam daun keladi yang separuh tenggelam. Daun keladi dibuai-buai arus. Air deras hilang diselekoh hujung tanah Tok Bomoh Mat Sarin, ke hilir bercantum dengan Sungai Trong sebelum menuju ke Kuala Trong dan kelaut Selat Melaka.

SERIBU MINGGU BERLALU


BAB 1

LEPAS DARI ARUS SUNGAI, TENGGELAM DALAM ARUS CINTA

GOBEK SIREH KACANG KUDA

Apa erti sayang. Aku kurang arif mengenai maknanya sebenar.Itupun jika perasaan itu boleh ditafsir dengan tepat. Boleh digambarkan dengan perkataan. Boleh diberi makna dengan keterangan yang meyakinkan. Cumanya aku pernah dimaklumkan oleh sesaorang bahawa, sayang itu adalah kasta yang tertinggi dikalangan tiga kasta utama perasaan manusia: Sayang, kasih dan cinta. Katanya lagi, kalau sesaorang telah mampu menguasai dan mengerti rasa sayang, maka lengkaplah sebuah cinta. Aku dengan rela menerima pengkastaan itu. Kemudian, melalui talian telefon, dia menyampaikan hujah-hujahnya untuk menjustifikasikan pendapatnya. Pengucapannya cukup menarik. Aku sudah lupa kepada butiran pengucapan itu.Namun dia berjaya mempengaruhi aku. Aku menjiwai keterangan itu dan rasa bahagia kerana memahaminya. Kebahagiaan itu terasa melambung-lambung didalam diriku kerana akhirnya mengertilah aku, bahawa aku sangat-sangat menyayangi insan ini. Setelah dia meletakkan telefonnya, lambung-lambungan dalam diri aku masih tidak henti dan diluarannya aku merasakan alam sekeliling bertukar diisi-isi oleh warna-warna biru. Kata orang warna biru itu warna keriangan. Mulai saat itu, aku amat senang sekali. Enam tahun selepas perbualan telefon itu, kami berpisah. Suatu perpisahan yang harmoni. Namanya sentiasa terucapkan dan sepanjang 34 tahun bersama dengannya, tidak pernah sekali pun dia menyakiti perasaanku. Cuma ketika bertemu dengannya di Tokyo, aku berkecil hati yang amat sangat kerana dia membenarkan pertemuan itu berlaku sekadarnya. Dia tidak menghargai perjalananku yang beribu batu untuk melepas rindu bersamanya. Aku memujuk hati. Begitulah suatu pengorbanan.

Pengorbanan inilah yang menghantui hidupku kini. Semasa kecil, aku dan adik-adik begitu mewah disirami dengan kasih, sayang dan pengorbanan seorang ibu.

Tahun 1961.

Kampung Parit Satu disinari cahaya bulan penuh. Bunyi unggas membentuk simponi malam, nyaring dan segar. Burung tukang mengetuk-ngetuk tanpa henti. Angin nyaman menderu-deru berkejaran melepasi pucuk-pucuk anak padi. Angin memintas kedalam kampung. Dedaun nipah bersentuhan sesama sendiri, melahirkan semacam bunyi tepukan yang bersambung-sambung.Tepukan itu terhenti apabila angin mati. Angin datang lagi dan datang lagi. Malam jadi nyaman, romantik dan berokestra.

Pintu tengah rumah Tok Wan Teh ternganga luas. Angin menerjah masuk, mengusik-ngusik pucuk api lampu minyak tanah. Pucuk api meliuk-liuk berlenggang mengikut tari angin malam. Tok Wan Teh duduk menghadap lampu minyak tanah. Tenang dan anggun. Ibu sedang mengisi-ngisi kacang rebus kedalam bungkusannya yang berbentuk bulat tiga segi runcing kebawah. Bungkusan dibuat dari kertas suratkhabar lama. Inilah malam pertama ibu memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual kacang rebus, kemudian diikuti dengan karipap, onde-onde, apum, kueh sagu merah, cucur badak, kueh lapis dan rojak buah. Esok adalah hari pertama untuk aku berjalan ke pekan untuk menghantar bungkusan kacang rebus itu ke kantin sekolah. Dari sekolah rendah sehingga aku ditahun akhir Universiti, ibu tidak pernah berhenti membuat dan menjual kueh. Dan aku tidak pernah jemu menghantar kueh-kueh yang ibu sediakan kekedai atau kekantin sekolah dan aku kemudiannya dikenali dengan gelaran Mat Karipap.

Sambil menemani ibu menyiapkan bungkusan-bungkusan kacang kuda, aku mengobek-ngobek sireh untuk Tok Wan Teh. Adik-adik sudah lama masuk tidur didalam kelambu.Letih bermain siang tadi.

“Tok, dah..” aku menghulurkan gobek kepada Tok Wan Teh. Tok Wan Teh menyambut gobek dan mengetuk-ngetuk mulut gobek diatas tapak tangannya. Tertumpah keluar sireh pinang yang digobek dan digenggamnya.

“Tak hancoq pun..” dimasukkan semula sireh pinang yang belum begitu lumat kedalam buluh gobek dan menghulurkannya kepada aku. Aku mencapai alunya dan mengobek semula. Ibu terus sibuk menyelesaikan bungkusan-bungkusan kacang rebusnya. Aku menggunakan sepenuh tenaga mengobek sireh untuk Tok Wan Teh.

Tok Wan Teh adalah ibu kepada ibu aku.Dia lumpuh separuh badan. Tok Wan Teh bergerak dengan mengesut. Orang kampong panggil Tok Wan Teh dengan gelaran Tok Kesut. Kulitnya putih melepak, wajahnya bujur sireh dan badannya kecil comel. Rambutnya putih beruban tetapi disikat kemas oleh ibuku petang tadi selepas memandikannya. Kukira Tok Wan Teh, atau nama sebenarnya Puteh Binti Pok seorang gadis yang cantik semasa mudanya dan digilai oleh pemuda-pemuda yang sezaman dengannya.

Sambil menggobek sireh, aku mengangkat muka memandang Tok Wan Teh.Tok Wan Teh memberi isyarat supaya aku mempercepatkan kerja gobek sireh itu. Mungkin Tok Wan Teh dah ketagih sangat nak menguyah sireh gobek.Aku mencolek sedikit sireh didalam tabung gobek menggunakan hujung alu besi yang tajam. Aku renung campuran sireh, pinang, gambir dan kapur yang berwarna kemerah-merahan itu. Sudah hancur jika dibandingkan dengan hasil gobekan aku yang pertama tadi.

“Dah la tu, bawak mai sini…hancoq dah tu…nanti tembus pulak gobek aku..”Tok Wan Teh meminta aku menyerahkan gobek itu. Tok Wan Teh jadi risau, takut-takut hentakan kuat aku menggobek sireh akan menyebabkan tabung buloh gobek itu tembus.

“he, he, he…” aku ketawa kecil dan aku lihat ibu tersenyum.

Tok Wan Teh menumbuk-numbuk kecil kedalam gobek, mengores-gores dalam tabung gobek, menghentak-hentak pangkal gobek atas lantai dan kemudian memuntahkan sireh yang lumat diatas tapak tangan kirinya, melihat-lihat hasil gobek cucunya dan memasukkan kedalam mulutnya. Diulang menggores-gores, hentak-hentak dan dituangkan baki sireh keatas tapak tangan kirinya dan memakannya.

Aku duduk menyeranggoh dihadapan Tok Wan Teh. Selepas ketukan kedua Tok Wan Teh mengeluarkan baki sireh gobek, aku meniru perbuatan Tok Wan Teh untuk kali ketiga. Aku keluarkan baki sireh yang tinggal sedikit didalam buluh gobek. Letakkan atas tapak tangan dan masukkan kedalam mulut. Rasanya tidak enak, ada rasa pedas-pedas dengan ketulan kecil pinang yang tidak hancur. Tersembur keluar sireh pinang dari mulutku. Bertaburan diatas tikar mengkuang. Aku berlari kepintu tengah yang tebuka luas, berpaut pada jenang pintu dan meludah-ludah saki baki sireh yang masih ada didalam mulutku dimuka pintu.

“ Pedaaas Tok oooi….” Aku merungut ketika duduk semula dihadapan Tok Wan Teh.

“Budak-budak tak boleh makan sireeeh..”Tok Wan Teh melayan dengan lembut.

“Awat Tok?”

“Nanti hang mabuk..” jawapnya lembut.

“Mabuk tu apa Tok?”

“Penin…..sakit kepala”jelas Tok Wan Teh.

Aku berpusing menyeranggoh kehadapan ibu yang membungkus kacang tanah.

“Penin tu… yang kepala pusing-pusing tu ke mak?”

“Ya” Ibu menjawap ringkas, malas melayan pertanyaan aku. Begitulah sikap ibu kalau dia sedang sibuk bekerja.

Aku merangkak semula menyeranggoh dihadapan Tok Wan Teh.Tok Wan Teh sedang enak menguyah sireh gobek.

“Tok penin?”

Tok Wan Teh mengeleng-geleng kepala.

Malam bertambah larut. Bulan semakin rendah. Alam disirami cahaya cerah kebiru-biruan. Bungkusan kacang rebus yang telah siap, ibu aturkan didalam talam. Ibu mengemas-ngemas dan Tok Wan Teh mengesut-ngesut kearah tempat tidurnya yang telah disiapkan oleh ibu. Sebuah kelambu putih kecil telah digantung. Tok Wan Teh menyelak pintu kelambu dan mengesut diatas tilam nipis, membetulkan kedudukannya dan dengan tertib menjatuhkan badannya perlahan-lahan diatas tilam nipis. Aku dengar Tok Wan Teh membaca doa dengan suara berbisik.

Simponi malam bertambah meriah. Burung tukang tak berhenti bertukang. Irama ketukannya hampir sama temponya. Sesekali terdengar dua ketukan, sesekali tiga ketukan. Ibu menutup dan mengunci pintu tengah rumah Tok Wan Teh.Ibu memadam pelita. Aku telah masuk dalam kelambu berbaring disebelah adik. Cahaya terang bulan mencuri masuk dicelah-celah dinding bertam rumah Tok Wan Teh. Dalam kelam-kelam aku lihat ibu memasukki kelambu, membetul-betulkan selimut adik-adik dan merebahkan dirinya yang letih dihujung kaki adik. Ayah nun jauh diperantauan mencari rezeki.Aku begitu teruja untuk menanti hari esok membawa kacang rebus masakan ibu untuk dijual dikantin sekolah tempat aku belajar. Dan bermulalah suatu episod realiti dalam hidupku menjadi seorang anak penjual kueh dan anak tani dari keluarga miskin di Parit Satu.